KLUANG, 1 JUN: Anak saudara kepada mangsa kemalangan maut di hadapan Penjara Simpang Renggam, di sini petang tadi terkilan kerana tidak sempat merakam gambar atau video bersama ibu saudaranya baru-baru ini, seperti kebiasaan setiap kali sambutan Aidiladha.
Nurul Hidayah Kamarruddin, 29, berkata kali terakhir dia dan kakaknya, Nur Syamimi, 33, bertemu ibu saudaranya itu, Allahyarham Nor Azlina Abd Latif, 33, ketika mereka sekeluarga mengadakan kenduri doa selamat serta pertemuan sempena Aidiladha di Jasin, Melaka, Sabtu lepas (30 Mei).
Menurut Nurul Hidayah, ketika itu mereka sekeluarga lebih tertumpu kepada hal kenduri dan tidak terfikir untuk merakam gambar serta hanya berbual-bual seperti biasa seperti bertanya khabar dan bercerita berkaitan keadaan kampung halaman mereka di Terengganu.
“Ibu saudara kami ada bercerita mengenai keadaan nenek, Semek Mat Soh yang menghidap strok dan akan dijaga bergilir-gilir oleh adik-beradik ibu kami… pada hari Sabtu itu jugalah kami semua bertemu.
“Pada 2.40 petang tadi, saya terkejut setelah menerima perkhabaran bahawa ibu saudara, pak cik dan nenek serta seorang lagi mangsa yang merupakan anak saudara (Nor Azlina) telah tiada apabila terlibat kemalangan itu,” katanya ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Nurul Hidayah berkata dia difahamkan setelah pulang dari rumahnya Sabtu lepas, Nor Azlina sekeluarga ke Alai, Melaka untuk bermalam di sana sebelum bergerak pagi tadi untuk pulang ke rumah di Kota Tinggi.
“Apabila diberitahu mereka terlibat kemalangan dan meninggal dunia, saya hanya terdiam kerana baru sahaja berjumpa lalu terus bergegas ke sini (Kluang),” katanya.
Terdahulu, kemalangan berkenaan melibatkan lima kenderaan iaitu Toyota Vios, Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes E240 dan BMW.
Selain Nor Azlina, tiga mangsa turut dilaporkan meninggal dunia di lokasi iaitu Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, dan Semek, 73.




