Urusan haji kali ini tersusun, sistematik - Menteri

1 Jun 2026, 11:22 AM
Urusan haji kali ini tersusun, sistematik - Menteri

SEPANG, 1 JUN: Segala urusan haji kali ini disifatkan sebagai sangat tersusun dan sistematik sekali gus membuktikan Malaysia mempunyai pengurusan haji yang terbaik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata ia adalah hasil komitmen berterusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang terkedepan sebagai peneraju pengurusan haji dunia.

“Buat kali pertama saya dimaklumkan oleh TH bagaimana Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah datang ke khemah kita, melihat persiapan kita dan beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia.

“Secara rumusannya, Alhamdulillah, urusan haji kali ini sangat-sangat tersusun, begitu sistematik, rapi dan teliti. Saya ucapkan tahniah kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 di sini, selepas menunaikan haji.

Beliau turut memuji pelaksanaan beberapa inisiatif baharu termasuk program Green Hajj (Haji Lestari) yang menjadikan Malaysia antara negara perintis dalam usaha kelestarian semasa musim haji.

“Malaysia mendahului banyak negara lain melalui usaha kitar semula dan kitar tinggi kain ihram dan barangan yang boleh digunakan semula. Kita juga melaksanakan kempen kebersihan di kawasan Masyair dan penginapan jemaah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) turut membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.

“Tabung Haji telah mengintegrasikan teknologi digital dan AI dalam operasi haji antaranya menerusi aplikasi e-TAIB yang membolehkan jemaah mendapatkan maklumat dan jawapan secara masa nyata, dipantau oleh pembimbing atau pakar rujuk syariah,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai Anugerah Labbaitom yang diterima TH buat kali kelima berturut-turut, selain turut mengekalkan Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.

“Ini merupakan satu bukti bahawa negara kita mempunyai satu pengurusan haji yang terbaik dan menjadi rujukan global dan dunia,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.