DUN Johor bubar secara rasmi hari ini

1 Jun 2026, 9:27 AM
DUN Johor bubar secara rasmi hari ini

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru petang ini.

Onn Hafiz berkata pembubaran DUN itu dilakukan setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.

“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuatkuasa hari ini, selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

"Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi. Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi dengan penuh adab, tertib dan berhemah demi menjaga keharmonian serta kemuafakatan.

Pembubaran DUN itu membuka laluan kepada PRN dalam tempoh 60 hari sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Kerajaan Johor sebelum ini dipimpin Barisan Nasional (BN) yang menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN hasil kemenangan pada PRN Johor 2022.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dan MUDA masing-masing mempunyai tiga dan satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penting termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.