SHAH ALAM, 1 JUN: Ibu bapa disaran menetapkan had penggunaan gajet dan aplikasi dalam kalangan kanak-kanak bagi mengelak ketagihan kandungan digital yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, kawalan penggunaan peranti digital secara konsisten penting bagi memastikan anak-anak tidak menghabiskan terlalu banyak masa di alam maya sehingga mengganggu rutin harian mereka.
"Peranan yang perlu dimainkan bersama oleh keluarga adalah melakukan sekatan disiplin iaitu hanya pada waktu-waktu tertentu dan ini adalah penting untuk menentukan rutin dan mencorakkan kemenjadian anak-anak yang perlu besar nanti," katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, beliau berkata teknologi digital boleh dimanfaatkan sebagai medium pembelajaran dan akses kepada maklumat sekiranya digunakan secara berhemah.
"Pada saya ia boleh menjadi bilah tajam dua mata kerana ia akan boleh menjadi sesuatu yang sangat positif untuk pendidikan dan juga akses kepada mereka yang berada di pedalaman," katanya.

Bagaimanapun, Anfaal mengingatkan penggunaan tanpa kawalan boleh mendorong ketagihan terhadap kandungan dalam talian sekali gus memberi kesan kepada kesejahteraan kanak-kanak.
"Sekiranya kandungan-kandungan tersebut melekakan dan apa lagi berlakunya suasana doom scrolling, mereka ini terketagih dengan scroll kepada kandungan berjam-jam lamanya.
"Ini saya kira sangat membahayakan kerana ia akan mengganggu dari segi kesihatan, waktu rehat, waktu belajar, waktu makan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata perlindungan kanak-kanak di alam digital memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, institusi pendidikan dan komuniti.
"Yang paling penting adalah penguatkuasaan undang-undang dan juga sekatan supaya aplikasi yang masuk ke dalam negara kita dengan kandungan yang pelbagai perlu dikawal selia oleh SKMM, selain tindakan undang-undang yang tegas kepada berlakunya buli siber dan eksploitasi gambar dan video kanak-kanak.
"Dari segi sekolah pula, advokasi berterusan (perlu dilakukan) oleh guru dan kaunselor. Pada saya, komuniti boleh mewujudkan persekitaran digital melalui penghasilan kandungan bermoral, memberikan nasihat dan pengajaran yang baik," ujarnya.

Anfaal berkata Kerajaan Negeri memandang serius isu keselamatan kanak-kanak di alam siber kerana ia merupakan sebahagian daripada agenda perlindungan kanak-kanak di Selangor.
Katanya, sejak 2023 Selangor memperhebat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan digital menerusi kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui siri bengkel keibubapaan digital.
"Advokasi berterusan akan dilaksanakan dalam Siri Jelajah Wanita Selangor. Salah satunya ialah forum advokasi 1,000 hari pertama anak yang akan disampaikan oleh pakar kepada ibu bapa dan yang hadir," katanya.
Tambah beliau, siri pertama Jelajah Wanita Selangor akan bermula di Daerah Petaling pada 6 Jun ini dengan Dewan Serbaguna MBSJ SS15, Subang Jaya dipilih sebagai lokasi penganjuran.








