Naik taraf Taman Madani Rakyat berjalan lancar, kemudahan riadah lebih selesa, selamat

1 Jun 2026, 2:00 PM
Naik taraf Taman Madani Rakyat berjalan lancar, kemudahan riadah lebih selesa, selamat
Naik taraf Taman Madani Rakyat berjalan lancar, kemudahan riadah lebih selesa, selamat

SHAH ALAM, 1 JUN: Projek menaik taraf Taman Madani Rakyat di Bandar Utama, Batang Kali masih diteruskan selepas sebulan kerja pembinaan dimulakan bagi menyediakan kemudahan riadah yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tau berkata projek berkenaan dilaksanakan bagi memastikan masyarakat setempat mempunyai ruang rekreasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti beriadah.

Menurut beliau, beberapa komponen utama taman itu masih dalam proses pembinaan dan belum siap sepenuhnya.

Katanya, antara kemudahan yang sedang dinaik taraf ialah padang bola sepak, padang futsal serta kerja berkaitan lantai di kawasan taman berkenaan.

“Kontraktor diminta menyiapkan projek ini dengan segera serta memastikan hasil kerja berkualiti dan sempurna,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek berkenaan dalam pemantauan yang dijalankan hari ini.

Pemantauan itu turut disertai ahli majlis, ketua kampung serta pegawai Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Hulu Selangor bagi menilai kemajuan kerja di lokasi.

Selain memastikan projek berjalan lancar, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kemudahan awam yang disediakan untuk kegunaan bersama.

Beliau menasihati penduduk khususnya golongan belia supaya tidak melakukan kegiatan vandalisme yang boleh merosakkan kemudahan taman.

“Kami mendapati bahawa terdapat kegiatan merokok, memasak dan menunggang motosikal di kawasan trek joging taman permainan,” katanya yang turut menyeru penduduk menghargai serta memelihara taman berkenaan demi manfaat bersama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.