SHAH ALAM, 1 JUN: Lelaki berusia 32 tahun dipercayai patah kaki kiri ketika mendaki di Air Terjun Jeram Perlus, Hulu Langat diselamatkan anggota bomba dalam operasi berakhir pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.58 tengah hari semalam.
Beliau berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta BBP Ampang dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Katanya, pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 1.31 tengah hari untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa.
“Rakan mangsa memberitahu mangsa cedera di bahagian kaki dan tidak boleh berjalan ketika melakukan aktiviti mendaki.
"Mangsa dengan anggaran berat 100 hingga 110 kilogram kemudian dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi membawa turun mangsa dijalankan dengan menggunakan pengusung berikutan keadaan muka bumi yang mencabar.
Menurut Ahmad Mukhlis, mangsa memerlukan bantuan sepenuhnya pasukan penyelamat untuk dibawa keluar dari lokasi.
Beliau berkata usaha menyelamat dijalankan sepanjang malam bagi memastikan mangsa dapat dibawa ke lokasi selamat.
“Mangsa berjaya dibawa turun jam 9 pagi ini seterusnya diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Ampang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.








