Ziarah Kasih DUN Bukit Antarabangsa kenal pasti keperluan penduduk secara bersasar

1 Jun 2026, 12:00 PM
Ziarah Kasih DUN Bukit Antarabangsa kenal pasti keperluan penduduk secara bersasar
Ziarah Kasih DUN Bukit Antarabangsa kenal pasti keperluan penduduk secara bersasar
Ziarah Kasih DUN Bukit Antarabangsa kenal pasti keperluan penduduk secara bersasar

SHAH ALAM, 1 JUN: Program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa terus menjadi medium penting bagi mengenal pasti keperluan sebenar penduduk sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih bersasar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin berkata program itu melibatkan lawatan ke rumah penduduk yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk masalah kesihatan, kewangan dan keperluan peralatan khas.

Menurut beliau, maklumat mengenai individu yang memerlukan bantuan diperoleh sama ada melalui penduduk setempat atau penerima sendiri yang menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

“Biasanya sama ada kita dimaklumkan oleh orang lain ataupun mereka sendiri menghubungi kita mengenai masalah yang dihadapi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata sebelum bantuan disalurkan, PKM akan menghantar kakitangan untuk membuat lawatan dan menilai keperluan sebenar penerima bagi memastikan bantuan yang diberikan bersesuaian.

Katanya, antara keperluan utama yang sering dikenal pasti ialah bantuan kewangan selain barangan keperluan tertentu yang diperlukan penerima.

“Selepas kita membuat penilaian, barulah bantuan yang bersesuaian akan disalurkan mengikut keperluan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan merangkumi sumbangan kewangan, barangan keperluan asas serta peralatan khas seperti kerusi roda dan susu khas mengikut keperluan individu.

Beliau berkata secara anggaran, bantuan yang diberikan boleh mencecah sekitar RM1,000 bagi setiap penerima termasuk sumbangan tunai dan pembelian barangan keperluan.

Tambahnya, pasukan kebajikan PKM turut membantu menyalurkan penerima kepada agensi berkaitan seperti pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan jangka panjang.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada PKM sekiranya mengetahui terdapat individu yang memerlukan bantuan supaya tindakan segera dapat diambil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.