SHAH ALAM, 5 JUN: Beberapa lokasi rekreasi di Shah Alam terus menjadi tumpuan keluarga sempena cuti sekolah apabila ibu bapa mengambil peluang meluangkan masa bersama anak-anak menerusi pelbagai aktiviti riadah.
Tinjauan Media Selangor di sebuah taman tema air di bandar raya ini mendapati ramai pengunjung memilih lokasi rekreasi yang menawarkan kemudahan mesra keluarga, harga berpatutan dan mudah diakses sebagai destinasi percutian hujung minggu.
Pengunjung, Mohd Riduan Abdul Hamid, 44, berkata beliau memilih lokasi berkenaan kerana jaraknya yang dekat dari rumah selain sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga.

“Ini kali ketiga saya datang. Dari segi kemudahan, bagi saya memuaskan dan harga tiket juga mampu milik terutama untuk golongan B40,” katanya.
Beliau turut menyarankan orang ramai merancang perjalanan lebih awal termasuk membeli tiket secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan urusan parkir.
Bagi Aberna, 36, kemudahan yang disediakan serta suasana yang mesra keluarga menjadi antara faktor utama beliau memilih lokasi rekreasi tersebut sepanjang cuti sekolah.
Menurutnya, aspek keselamatan juga memuaskan apabila terdapat petugas yang memantau kawasan permainan terutama yang melibatkan kanak-kanak.
“Tempat ini sangat berbaloi. Banyak kemudahan, harga pun lebih murah berbanding tempat lain dan saya memang akan cadangkan kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Danial Adham Mohd Muzhafar Faiz, 17, berkata lokasi rekreasi seperti taman tema air memberi peluang kepada remaja dan keluarga meluangkan masa bersama dalam suasana santai.

“Kalau datang awal memang berbaloi sebab boleh main sepanjang hari. Cuma bahagian makanan agak lama, lebih 30 minit menunggu,” katanya.
Musim cuti sekolah yang bermula minggu ini menyaksikan peningkatan kehadiran pengunjung ke pelbagai lokasi rekreasi dan pelancongan tempatan apabila ramai keluarga memilih percutian jarak dekat sebagai alternatif mengisi masa lapang bersama anak-anak.
Selain taman tema air, orang ramai turut mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi popular di bandar raya ini seperti kawasan rekreasi sekitar Tasik Shah Alam, Taman Botani Negara Shah Alam, i-City dan Perpustakaan Raja Tun Uda yang menawarkan pelbagai aktiviti riadah, pendidikan dan hiburan untuk seisi keluarga.
Kepelbagaian pilihan destinasi, kemudahan yang mudah diakses serta suasana mesra keluarga terus menjadikan Shah Alam antara lokasi pilihan warga Lembah Klang untuk beriadah dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sepanjang musim cuti sekolah.










