Kerajaan buka ruang reformasi dasar dadah, utamakan rawatan dan pemulihan

31 Mei 2026, 2:28 PM
Kerajaan buka ruang reformasi dasar dadah, utamakan rawatan dan pemulihan
Kerajaan buka ruang reformasi dasar dadah, utamakan rawatan dan pemulihan
Kerajaan buka ruang reformasi dasar dadah, utamakan rawatan dan pemulihan
Kerajaan buka ruang reformasi dasar dadah, utamakan rawatan dan pemulihan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Kerajaan membuka ruang perbincangan mengenai reformasi dasar dadah negara dengan memberi penekanan kepada pendekatan lebih seimbang yang mengutamakan rawatan dan pemulihan individu terlibat dengan ketagihan, tanpa berkompromi terhadap usaha pencegahan serta penguatkuasaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Marhamah Rosli berkata pelancaran Kertas Kerja: Ke Arah Polisi Dadah Berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah bukan bertujuan menghalalkan penggunaan dadah, sebaliknya menghimpunkan pandangan pelbagai pihak sebelum sebarang cadangan dasar dimuktamadkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli menyampaikan ucapan perasmian majlis Pelancaran Kertas Polisi Dadah dan Islam sempena Kongres Kepulihan Kebangsaan 2.0 di Hotel Kingston 10, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 31 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Pelancaran yang kita buat hari ini adalah membuka pintu agar lebih banyak perbincangan, agar lebih banyak buah fikir yang dibawa, agar masyarakat juga tidak menghukum.

"Dalam masa yang sama, perlu juga ada usaha dipergiat, jangan lupa untuk pencegahan. Kalau kita tak cegah, kita akan terbeban dan kerjanya bukan mudah," katanya ketika merasmikan pelancaran kertas kerja itu hari ini.

Menurut Marhamah, usaha membantu individu yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah perlu berjalan seiring dengan kempen kesedaran dan pencegahan yang lebih agresif, khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Kesedaran perlu kita sebar luaskan kepada anak muda bahkan kepada anak-anak kecil. Zaman sekarang ini saya dimaklumkan dadah itu bentuknya sangat 'advance', bahkan tidak diketahui pun benda itu dadah sebenarnya. Jadi ini adalah satu perkara yang sangat bahaya," katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas terhadap sindiket dan pengedar dadah perlu diteruskan, namun individu yang sedang berusaha keluar daripada belenggu ketagihan memerlukan sokongan masyarakat bagi membantu proses pemulihan mereka.

"Kita perlu faham ada individu yang sedang bergelut dalam kehidupan mereka yang mana mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat untuk boleh pulih, bukan dengan cara hukuman," katanya.

Marhamah turut mengalu-alukan program berkenaan yang menghimpunkan agamawan, pakar kesihatan dan bekas pengguna dadah untuk berkongsi pandangan mengenai hala tuju reformasi dasar dadah negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Malaysian Substance Abuse Council (MASAC), Raja Azizan Suhaimi menggesa pindaan terhadap tiga peruntukan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menurutnya tidak lagi selari dengan cabaran semasa.

Beliau berkata akta berkenaan digubal ketika landskap penyalahgunaan dadah jauh berbeza berbanding hari ini, termasuk kemunculan pelbagai bahan baharu serta produk seperti vape yang mengandungi bahan terlarang.

Setiausaha Agung MASAC, Raja Azizan Suhaimi ditemui selepas majlis Pelancaran Kertas Polisi Dadah dan Islam sempena Kongres Kepulihan Kebangsaan 2.0 di Hotel Kingston 10, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 31 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Akta dadah ini sudah terlalu kuno, dari 1952. Jenis dadah yang diambil sekarang pun sudah berbeza. Jadi sebenarnya ia memang perlu dipinda atau dimansuh," katanya kepada pemberita.

Menurut Raja Azizan, terdapat perkembangan positif apabila pihak berkaitan mula menunjukkan kesediaan untuk meneliti pendekatan yang lebih memfokuskan rawatan dan pemulihan, khususnya terhadap pengguna yang didapati positif dadah tetapi tidak terlibat dalam kesalahan jenayah lain.

Beliau berkata pendekatan itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada hukuman penjara bagi kes tertentu dan memberi peluang lebih besar kepada penagih untuk kembali pulih.

Pada masa sama, program berkenaan turut menghimpunkan lebih 200 bekas pengguna dadah dari seluruh negara melalui sesi motivasi, perkongsian pengalaman serta program rawatan dan pemulihan.

"Dia orang nak cari tempat di mana mereka boleh dapat semangat untuk kekalkan pemulihan. Itu yang kita hendak. Sebenarnya bukan menghukum mereka. Stigma salah.

"Kalau dari segi undang-undang, dadah memang salah. Saya tak kata betul. Tapi jangan hukum masuk penjara, hukum dengan perintah pergi jalani rawatan dan pemulihan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.