SHAH ALAM, 31 MEI: EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin DAP Ronnie Liu susulan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah.
Izham berkata kenyataan Ronnie yang menuduh beliau menjadi punca utama penamatan industri penternakan babi di Selangor adalah tidak berasas dan dibuat secara melulu.
“Saya sedang meneliti dengan peguam saya untuk melihat ada unsur-unsur fitnah yang melampau dan saya sedang bincang kerana banyak yang dituduh adalah fitnah semata-mata.
“Yang pertama, dia (Ronnie) menyatakan idea saya lah untuk tamatkan ternakan babi di Selangor. Ini satu tuduhan yang melulu dan tidak berasas,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah itu menjelaskan segala keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara kolektif menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), selaras dengan amalan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, isu penternakan babi di Selangor telah berlarutan lebih 30 tahun dan tidak pernah diselesaikan secara menyeluruh sebelum ini.
Katanya, cadangan pemindahan industri berkenaan ke Bukit Tagar pula bukan idea peribadinya, sebaliknya hasil perbincangan yang dibuat bersama pelabur terlibat.
“Sebenarnya idea itu dibincang secara panjang lebar kerana salah seorang pelabur di situ memiliki ladang di Bukit Tagar. Ini bukan idea saya sebab saya tiada tanah di Bukit Tagar.
“Tempat itu juga terletak di pinggiran dan berhampiran pusat penyembelihan babi yang ada sekarang. Tetapi apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah bertitah, kita akur dan hentikan semua usaha,” katanya.
Ronnie menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis mendakwa Izham bertanggungjawab terhadap penamatan industri penternakan babi tempatan selain menuduh beliau mengugut penternak.
Bekas ADN Pandamaran itu turut mendakwa isu berkenaan boleh menjejaskan sokongan pengundi terhadap AMANAH Selangor dan memberi kesan kepada parti itu pada pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri akan melaksanakan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak mahu terdapat ladang penternakan babi di negeri ini.
Menurut Dato' Amirudin Shari, Kerajaan Negeri pada masa sama turut memberi perhatian terhadap kebajikan penternak dengan membantu mereka beralih kepada sumber pendapatan lain.








