SHAH ALAM, 31 MEI: Masalah kekurangan parkir yang sekian lama membelenggu tiga rumah ibadat utama di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dijangka berakhir apabila projek pembinaan kemudahan parkir bernilai RM4 juta siap Ogos ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata projek yang sedang berjalan mengikut jadual itu akan menyediakan 90 petak parkir tersusun untuk kegunaan pengunjung dan penganut.
Menurutnya, kemudahan tersebut bakal memberi manfaat kepada Sri Varatharaja Perumal Temple, Gurdwara Sahib Subang dan Subang Jaya Buddhist Association (SJBA), yang menjadi tumpuan komuniti setempat serta penganut dari seluruh Lembah Klang.

“Setiap kali perayaan utama seperti Puratasi, Vaisakhi dan Hari Wesak, atau majlis komuniti berskala besar diadakan, kawasan ini menerima kehadiran ribuan pengunjung sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapatkan parkir.
“Dalam keadaan tertentu, beberapa perayaan turut berlangsung serentak sekali gus meningkatkan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Michelle berkata usaha mencari penyelesaian kepada isu itu bermula sejak 2018 selepas beliau dimaklumkan mengenai masalah parkir kronik yang dihadapi ketiga-tiga rumah ibadat berkenaan.
Sebelum ini, Pejabat ADN Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membenarkan penggunaan tanah lapang berhampiran sebagai kawasan parkir sementara ketika acara besar berlangsung.
Bagaimanapun, langkah itu kurang berkesan kerana keadaan muka bumi yang curam menyukarkan pergerakan pengunjung terutama warga emas dan kanak-kanak.
Beliau berkata Sunway Group pada 2023 mengumumkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai RM4 juta bagi membina kemudahan parkir kekal di atas rizab jalan di belakang ketiga-tiga rumah ibadat tersebut.
“Apabila siap kelak, kemudahan ini bukan sahaja menyediakan ruang parkir yang lebih teratur, malah dilengkapi sistem pencahayaan dan perparitan yang baik bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna,” katanya.
Michelle berkata projek itu turut merangkumi kerja naik taraf di Sri Varatharaja Perumal Temple termasuk pembinaan tangga baharu dan laluan tanjakan mesra orang kurang upaya (OKU).
Katanya, Pejabat ADN Subang Jaya bersama MBSJ akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia siap mengikut jadual dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.








