Penerbit optimis industri buku fizikal kekal kukuh meskipun era digital

31 Mei 2026, 12:00 PM
Penerbit optimis industri buku fizikal kekal kukuh meskipun era digital
Penerbit optimis industri buku fizikal kekal kukuh meskipun era digital
Penerbit optimis industri buku fizikal kekal kukuh meskipun era digital
Penerbit optimis industri buku fizikal kekal kukuh meskipun era digital

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Minat masyarakat terhadap buku fizikal dilihat masih kukuh apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung sepanjang penganjurannya.

Keadaan itu memberi keyakinan bahawa industri penerbitan buku terus relevan meskipun berdepan persaingan daripada platform digital dan penggunaan gajet yang semakin meluas.

Pengarah Urusan Blink Book Sdn Bhd, Syaizul Amal Zulkaffly, 51, berkata, sambutan yang diterima sepanjang pesta buku kali ini amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung dari pelbagai negeri sempena cuti panjang.

Menurutnya, ibu bapa menjadi antara kelompok utama yang hadir sekali gus menunjukkan komitmen mereka dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

“Kami menyediakan ruang khas untuk ibu bapa duduk sementara anak-anak memilih buku yang diminati. Saya suka melihat ibu bapa memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih bahan bacaan mereka sendiri.

“Walaupun industri buku berdepan cabaran daripada penggunaan gajet, saya melihat masih ramai yang menghargai pengalaman membaca buku fizikal,” katanya.

Pengarah Urusan Blink Book SDN Bhd Syaizul Amal Zulkaffly,51 ,ketika ditemui ketika ditemui di PBAKL 2026 pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, persaingan dalam industri penerbitan turut menjadi pemangkin kepada penghasilan produk yang lebih berkualiti dan inovatif.

“Tahun lalu kami menerbitkan 126 judul buku sempena pesta ini, manakala tahun ini jumlah itu meningkat kepada 200 judul. Kami juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak buku pada masa akan datang,” katanya.

Pengunjung mendapatkan pelbagai naskhah yang dijual dengan harga promosi ketika di PBAKL 2026 pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Unit Produk dan Pemasaran IMAN, Nurul Najwa Ahmad Ramzan, 30, berkata, jumlah pengunjung yang hadir tahun ini dilihat lebih ramai berbanding tahun lalu.

Menurutnya, novel dan buku fiksyen terus mendapat perhatian pembaca, termasuk karya terbaharu yang diterbitkan syarikat itu.

“Pengunjung terdiri daripada keluarga dan golongan Generasi Z. Kami melihat semakin ramai yang berminat untuk membaca serta mencari kepelbagaian dalam bahan bacaan.

“Walaupun cabaran utama adalah persaingan harga, kami yakin permintaan terhadap buku fizikal masih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang menerbitkan kira-kira 30 buku tahun ini dan akan meningkatkan jumlah penerbitan pada tahun hadapan.

Ketua Unit Produk Marketing IMAN, Nurul Najwa Ahmad Ramzan, 30, ketika ditemui di PBAKL 2025 pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Mangosteen Books, Hanafi Munshi, 36, pula, peningkatan jualan dan jumlah pengunjung di gerai mereka mencerminkan perkembangan positif industri buku tempatan.

Katanya, novel fiksyen sejarah menjadi antara genre yang paling mendapat sambutan sepanjang pesta buku berlangsung.

“Golongan yang paling ramai mengunjungi gerai kami ialah wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun. Menariknya, mereka bukan hanya mencari diskaun, tetapi lebih mementingkan kandungan buku yang berkualiti.

“Saya melihat kadar pembacaan dalam kalangan remaja semakin meningkat dan ini petanda baik untuk industri penerbitan,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih banyak karya yang sesuai untuk pelbagai lapisan pembaca dapat diterbitkan pada masa hadapan.

Orang ramai mengerumuni reruai majalah lawak antarabangsa Ujang & Apo untuk bertemu dengan pelukis dan kartunis lagenda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sependapat dengannya, Kaunselor Berdaftar KKRI Sdn Bhd, Nurul Fateqa Waie Mahfudin berkata buku berkaitan keibubapaan, komunikasi dan kajian mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Menurutnya, kebanyakan pembeli terdiri daripada ibu bapa yang mahu menambah pengetahuan mengenai perkembangan dan pendidikan anak-anak.

“Cabaran utama ketika ini ialah peningkatan permintaan terhadap e-buku dan platform bacaan dalam talian. Namun begitu, saya melihat minat membaca dalam kalangan golongan muda masih berada pada tahap yang baik dan menunjukkan peningkatan,” katanya.

PBAKL 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) terus menjadi platform penting bagi penerbit mempromosikan karya baharu, selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Bermula 29 Mei hingga 7 Jun, acara tahunan tersebut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran buku, sesi bertemu penulis serta promosi jualan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.