Jangan panik jika sesat, malim gunung kongsi tip keselamatan pendakian

31 Mei 2026, 7:37 AM
Jangan panik jika sesat, malim gunung kongsi tip keselamatan pendakian

IPOH, 31 MEI: Persediaan rapi, disiplin serta kemampuan untuk tidak panik antara faktor paling penting perlu diberi perhatian setiap pendaki bagi mengelakkan insiden kehilangan atau kecemasan di kawasan pergunungan.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak Muzafar Mohamad berkata antara kesilapan paling kerap dilakukan pendaki ialah memandang rendah tahap kesukaran laluan, gagal membuat perancangan perjalanan yang teratur dan tidak membawa peralatan kecemasan asas.

Muzafar berkata peralatan seperti wisel, lampu suluh, kit kecemasan, alat pengesan lokasi (GPS tracker) dan bekalan makanan tambahan perlu menjadi keperluan asas setiap pendaki, bukan sekadar pilihan.

“Wisel misalnya amat penting kerana membantu pasukan penyelamat mengesan lokasi mangsa terutama ketika jarak penglihatan terhad, selain semasa keletihan dan tidak mampu menjerit meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muzafar berkata walaupun mempunyai pengalaman bertahun-tahun, ia bukan jaminan pendaki mampu menghadapi semua situasi kerana setiap gunung mempunyai cabaran tersendiri dari segi bentuk muka bumi, cuaca dan tahap kesukaran.

“Sebagai contoh trend pendakian kompres atau singkat yang semakin popular, memerlukan perancangan lebih teliti kerana tempoh perjalanan dipendekkan sehingga kira-kira satu pertiga daripada jadual asal.

“Apabila masa pendakian dipendekkan, margin kesilapan menjadi lebih kecil dan sebab itu perancangan logistik, kecergasan fizikal dan pengurusan risiko perlu dibuat dengan lebih terperinci,” katanya.

Selain itu, Muzafar berkata kebanyakan aktiviti pendakian di Malaysia memerlukan khidmat malim gunung bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi kecuali di beberapa kawasan tertentu yang tidak mewajibkannya.

Muzafar berkata cabaran utama operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pergunungan ialah kekangan komunikasi kerana kebanyakan lokasi pendakian tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang menyeluruh.

Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan mangsa untuk mendapatkan bantuan, malah memberi cabaran kepada pasukan SAR dalam menyelaras pergerakan dan strategi pencarian di lapangan selain mereka berhadapan keluasan kawasan pencarian dan perubahan cuaca tidak menentu.

Berhubung soal kelangsungan hidup selepas tersesat di dalam hutan, Muzafar berkata faktor paling penting ialah kemampuan untuk kekal tenang supaya dapat terus berfikir dengan baik dan tidak bertindak secara terburu-buru.

“Apabila panik, seseorang cenderung membuat keputusan yang boleh meningkatkan risiko keselamatan dan sebab itu seseorang pendaki perlu kekal tenang,” katanya.

Muzafar berkata sumber air merupakan keperluan paling mustahak dalam situasi kecemasan kerana manusia hanya mampu bertahan tanpa air untuk tempoh singkat berbanding makanan.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan tidak semua sumber air di hutan selamat diminum. Pendaki digalakkan membawa alat penapis air atau pil penulen air bagi memastikan air diambil daripada sumber semula jadi selamat digunakan.

“Selain itu, mangsa yang sesat disaran mengurangkan aktiviti fizikal yang berlebihan bagi mengelakkan dehidrasi dan tidak bergerak terlalu jauh dari lokasi asal kerana tindakan sedemikian boleh menyukarkan usaha pencarian,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.