SHAH ALAM, 31 MEI: Sebanyak 53 kerusi roda disalurkan kepada penduduk yang memerlukan di kawasan Rawang dari Januari hingga bulan ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata bantuan itu disampaikan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang bagi membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, kemudahan itu meringankan beban penerima dan keluarga mereka.
“Bagi sesetengah keluarga, sebuah kerusi roda bukan sekadar alat bantuan, tetapi juga kemudahan yang dapat meringankan beban harian mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasan Rawang terus diberi perhatian.
Program penyaluran kerusi roda tersebut turut mendapat sokongan daripada sektor korporat menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) CA Sheimer (M) Sdn Bhd.
Chua turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan atas komitmen dan sumbangan yang diberikan dalam menjayakan usaha kebajikan masyarakat setempat.
“Terima kasih atas sumbangan dan sokongan yang diberikan selama ini dalam membantu usaha kebajikan masyarakat di Rawang serta lebih ramai penduduk yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang terjalin antara pihak korporat dan komuniti dapat diteruskan demi manfaat lebih ramai penduduk pada masa hadapan.
“Semoga usaha ini dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga pada masa hadapan,” katanya.








