SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 11 pengusaha chalet dan resort di kawasan Dusun Tua, Hulu Langat menyertai sistem kutipan dan pelupusan sampah bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memperkemas pengurusan sisa di kawasan pelancongan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata penyertaan itu dicapai hasil beberapa sesi perbincangan bersama pengusaha terbabit.
Menurutnya, sebelum ini sebahagian pengusaha menguruskan sendiri pelupusan sampah, manakala sebahagian lagi menggunakan kemudahan tong dan tapak pelupusan sedia ada di beberapa lokasi.
“Apabila operasi komersial menggunakan kemudahan awam, ia boleh memberi kesan kepada kapasiti serta pengurusan sisa di kawasan terbabit.
"Penyelarasan ini penting untuk memastikan sistem lebih teratur,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Antara pengusaha chalet yang menyertai ialah Ajla Village, Idaman Nurani, Laman Iftitah, Skycam dan Dedaun.
Beliau berkata langkah itu merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh pengurusan sisa pepejal di kawasan pelancongan.
Ia sekali gus membantu mengekalkan kebersihan kawasan serta mengurangkan risiko pelupusan sampah tidak terkawal.
"Semoga tindakan yang diambil oleh 11 pengusaha chalet dan resort ini menjadi contoh kepada lebih ramai pengusaha lain untuk turut sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar di kawasan kita secara bersama," katanya lagi.








