SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan tidak menolak kemungkinan melaksanakan penyesuaian dasar perbelanjaan negara secara bertanggungjawab susulan peningkatan beban subsidi bahan api yang kini mencecah RM5 bilion sebulan akibat krisis tenaga global berpunca daripada sekatan di Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata situasi berkenaan memberi tekanan kepada sasaran defisit fiskal negara bagi tahun ini, sekali gus memerlukan pertimbangan semula terhadap struktur perbelanjaan kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan sedang menyemak semula peruntukan subsidi bahan api dan melaksanakan rasionalisasi perbelanjaan mengurus bagi memastikan defisit fiskal tidak melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Kerajaan sedang mempercepatkan peralihan kepada mekanisme subsidi bersasar yang lebih cekap. Langkah ini penting bagi memastikan dana awam digunakan secara optimum sekali gus mengurangkan beban kewangan negara akibat lonjakan harga minyak mentah dunia,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata penyusunan semula itu akan dilaksanakan secara berhati-hati dan bersasar supaya tidak menjejaskan momentum ekonomi domestik, selain membantu memperkukuh ruang fiskal negara serta melindungi kesejahteraan rakyat.
Akmal Nasrullah menjelaskan kerajaan sentiasa menilai semula keutamaan perbelanjaan berdasarkan kedudukan fiskal semasa, perkembangan ekonomi global dan domestik serta keperluan rakyat yang semakin dinamik.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, tekanan inflasi, konflik geopolitik dan peningkatan kos pelaksanaan projek, pendekatan penyusunan semula perbelanjaan penting bagi memastikan sumber kewangan negara disalurkan kepada program dan projek yang benar-benar kritikal.
Beliau berkata keutamaan perbelanjaan akan terus diberikan kepada projek dan program berimpak tinggi melibatkan kemudahan asas, infrastruktur kritikal, kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, tebatan banjir, pengangkutan awam dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan antara industri yang dijangka menerima kesan terbesar sekiranya krisis bekalan global berterusan.
Beliau berkata, peningkatan kos baja dan makanan ternakan boleh menjejaskan kos pengeluaran makanan negara, manakala sektor pembuatan berdepan gangguan rantaian bekalan serta kenaikan kos logistik dan insurans.
Mengulas langkah jangka panjang kerajaan, beliau berkata Petronas telah mengaktifkan strategi kepelbagaian sumber bekalan petroleum dari beberapa rantau termasuk Amerika Selatan, Afrika Barat dan Asia Tengah.
Kerajaan juga melaksanakan pemantauan harian menerusi Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global bagi memastikan tindakan intervensi dapat dilakukan dengan pantas dan bersasar demi mengekalkan kestabilan ekonomi negara.











