KUALA LUMPUR, 31 MEI: Peralihan landskap media kepada era digital pantas dan lambakan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan kaedah keilmuwan dalam mendepani cabaran semasa.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata masyarakat masih memerlukan industri media sebagai sumber rujukan namun ia harus berjalan seiring dengan perkembangan teknologi digital.
“Cabaran paling besar ialah industri media itu tercabar dalam bentuk konvensional. Jadi ia harus diseimbangkan antara teknologi semasa dengan intelek atau kaedah keilmuwan dan pengalaman.
“Kita tahu, semua syarikat media hadapi masalah ini, kita tidak nafikan. Tetapi saya berpendapat, ia harus ditangani dengan betul. Kita perlukan lagi media yang bertanggungjawab dengan anjakan semula, tidak boleh cara lama,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kumpulan Puisi Perseorangan Viva Poesie oleh Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Johan menegaskan, teknologi AI seharusnya hanya menjadi alat bantu yang menyokong pekerjaan manusia tanpa mengurangkan etika, kreativiti atau kualiti sesuatu pekerjaan, termasuk bidang kewartawanan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Editorial Media Selangor itu menambah, keupayaan AI dalam menjana idea dengan cepat dikhuatiri menyebabkan nilai kemanusiaan lenyap selain memberi implikasi buruk jika disalah guna.
“Teknologi AI tidak mampu selesaikan semua masalah. Dalam kewartawanan, manusia yang membuat keputusan bukan mesin. Pada akhirnya, AI penting untuk membantu manusia, bukan kita yang dikawal AI.
“Tidak ada teknologi dalam dunia ini yang boleh menggantikan manusia. Tetapi oleh kerana keghairahan kita terhadap AI, kita merasakan AI mampu selesaikan semua masalah kita. Itu adalah kesilapan yang paling besar,” katanya.
Kelmarin, Kementerian Komunikasi dilapor sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media di negara ini mendepani cabaran semasa termasuk ancaman teknologi AI dan ketidaktentuan ekonomi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini disambut dalam suasana kebanyakan petugas media berasa risau tentang pekerjaan serta masa masa depan mereka.
Untuk rekod, tarikh 29 Mei diwarta sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media dalam pembangunan negara dan bangsa.









