Kerajaan laksana langkah penjimatan ketat, dana dikembalikan kepada rakyat - PM

30 Mei 2026, 8:34 AM
Kerajaan laksana langkah penjimatan ketat, dana dikembalikan kepada rakyat - PM

PENAMPANG, 30 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI kini melaksanakan langkah penjimatan ketat membabitkan perbelanjaan menteri dan kementerian, dengan penjimatan itu disalurkan semula sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata peruntukan bagi kementerian akan dipotong bagi perbelanjaan tidak perlu, namun pengecualian diberikan untuk sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas termasuk di Sabah.

Anwar berkata langkah penjimatan itu, termasuk mengehadkan lawatan kerja menteri ke luar negara, kecuali bagi menghadiri mesyuarat wajib yang terikat dalam jadual seperti ASEAN, BRICS atau APEC.

“Lawatan-lawatan sekadar belajar dan sebagainya semua dibatalkan di Persekutuan. Kemudian, lawatan itu pun kalau rombongannya enam orang, jadi dua. Kalau hotelnya sampai Royal Suite, diturun jadi Junior Suite,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 serta Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Selain perbelanjaan ke luar negara, Anwar berkata penganjuran kursus kerajaan juga diubah dengan arahan supaya ia diadakan di kemudahan milik jabatan kerajaan berbanding di hotel mewah.

“Kalau kita tidak gunakan kebijaksanaan untuk cermat, negara tidak akan dapat diselamatkan. Wang ini yang diselamatkan dipindahkan (kepada rakyat),” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah bukanlah bermotifkan politik, sebaliknya bagi memulihkan kewangan negara.

Beliau berkata hasil penjimatan dan pemulihan dana, kerajaan berjaya menyalurkan peruntukan bernilai RM15.5 bilion kembali kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu, pembaikan puluhan ribu tandas sekolah yang menelan belanja tambahan RM1 bilion, serta pemberian segera baucar buku RM100 kepada semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Sementara itu, dalam mendepani cabaran dan perkembangan geopolitik dunia yang tidak menentu, Perdana Menteri menyatakan pendirian dasar luar Malaysia yang mengambil pendekatan centrality, atau bebas dan menjadi tumpuan, berbanding sekadar bersikap neutral.

“Kita tak gunakan neutrality, kerana kadang-kadang kalau ada kezaliman, keganasan, pembunuhan di tempat lain pun, kita tidak merasakan wajar untuk dibiarkan. Centrality maknanya bebas,” kata beliau merujuk kepada kelantangan Malaysia bersuara menentang penindasan.

Anwar berkata pendekatan dasar luar yang berprinsip dan mesra pelabur turut menyumbang kepada peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Amerika Syarikat serta China.

“Kunjungan mereka di sini dan kunjungan kita ke negara mereka, semangat itu untuk faedah rakyat dan negara kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.