Ops Kesan 6.0 mulai 1 Jun, bendung pencatutan susulan krisis bekalan global

30 Mei 2026, 4:48 AM
Ops Kesan 6.0 mulai 1 Jun, bendung pencatutan susulan krisis bekalan global

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 6.0 mulai 1 Jun hingga 31 Ogos ini, bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang mencetuskan kenaikan harga minyak mentah dunia pada awal tahun ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Datuk Azman Adam berkata operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah susulan peningkatan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan.

Beliau berkata pelaksanaan Ops Kesan 6.0 dibuat susulan jangkaan kesan berperingkat krisis bekalan global terhadap rantaian bekalan, kos penghantaran dan harga barangan asas di negara ini.

"Langkah proaktif ini diambil bertujuan memantau dan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi, mahupun perniagaan demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan perundangan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Beliau berkata operasi berkenaan akan menggunakan data sedia ada yang dikumpul secara berkala sejak tercetusnya krisis di Asia Barat, dengan pemeriksaan meliputi keseluruhan rantaian bekalan daripada pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong hingga peruncit.

Beliau berkata antara sektor utama yang menjadi fokus termasuk sektor petrokimia melibatkan pembungkusan dan plastik serta baja pertanian, sektor pertanian melibatkan sayur-sayuran seperti sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah, selain sektor penternakan termasuk makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta semua jenis telur ayam.

Selain itu, beliau berkata sektor pengangkutan khususnya caj penghantaran logistik turut menjadi antara fokus pemeriksaan, selain pemeriksaan proaktif terhadap sektor lain berdasarkan aduan semasa yang diterima.

"Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi," katanya.

Azman berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi atau memberikan maklum balas terhadap notis berkenaan termasuk mengemukakan maklumat palsu.

"Sekiranya hasil analisis awal mendapati wujud kenaikan peratusan keuntungan semasa melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya, dan siasatan lanjut telah membuktikan perniagaan tersebut mencatut, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 yang memperuntukkan hukuman berat," katanya.

Beliau berkata bagi pertubuhan perbadanan atau syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, manakala kesalahan kedua atau seterusnya membawa denda maksimum RM1 juta.

Bagi peniaga individu atau bukan pertubuhan perbadanan pula, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, peniaga individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.