El Nino: JBPM tingkat kesiapsiagaan hadapi gelombang haba, kebakaran hutan

30 Mei 2026, 3:41 AM
El Nino: JBPM tingkat kesiapsiagaan hadapi gelombang haba, kebakaran hutan

CYBERJAYA, 30 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh persediaan menghadapi gelombang haba serta kebakaran hutan susulan jangkaan cuaca kering yang sedikit luar biasa tahun ini berikutan fenomena El Nino.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan khas dengan semua pengarah bomba negeri dua minggu lepas bagi memastikan persediaan tahun ini lebih teliti dan rapi berbanding tahun sebelumnya.

"Persiapan memang kita dah buat dengan teliti. Alhamdulillah, tahun lepas juga kita telah melengkapkan perolehan, antaranya 70 kenderaan kompak yang banyak digunakan dalam kebakaran baru-baru ini, selain 80 pam tambahan atau portable pump untuk persediaan yang lebih rapi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Qurban Kasih JBPM 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, di sini hari ini.

Nor Hisham berkata antara penekanan utama JBPM ketika menghadapi kebakaran hutan ialah memperkukuh pelaksanaan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) 01 dalam pengurusan bencana.

Beliau berkata dua aspek kritikal diberi tumpuan ialah mobilisasi pam berkapasiti besar sekiranya terdapat sumber bekalan air dan penggunaan jengkaut atau jentera berat bagi mewujudkan pemisah api jika bekalan air tidak mencukupi.

"Dalam masa yang sama, kita juga telah memaklumkan kepada pihak NADMA supaya penguatkuasaan rondaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pejabat daerah diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan pembakaran terbuka sesuka hati," katanya.

Mengulas jangkaan kebakaran hutan tahun ini berbanding tahun lepas, beliau berkata berdasarkan situasi El Nino di Pasifik, ramalan dan bacaan semasa menunjukkan keadaan tidak terlalu kritikal.

"Persiapan dari segi jangkaan itu tidak terlalu kritikal, cuma meningkat sedikit sahaja. Kemungkinan besar, dari semasa ke semasa, MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) akan mengeluarkan lokasi atau negeri tertentu yang perlu diberi tumpuan," katanya.

Beliau berkata keadaan cuaca ketika ini juga masih terkawal kerana walaupun berlaku cuaca panas selama beberapa hari, hujan masih turun selepas itu.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham memaklumkan Malaysia buat pertama kali dilantik sebagai Timbalan Presiden Konfederasi Ketua-Ketua Bomba Asia dan Oceania pada Persidangan Agung badan itu yang menghimpunkan 24 negara anggota.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan pengiktirafan penting kepada negara dalam konfederasi yang ditubuhkan sejak 60 tahun lepas bagi memperkukuh kerjasama antara ketua bomba di rantau Asia dan Oceania.

"Alhamdulillah, pada tahun ini Malaysia buat pertama kalinya, saya dilantik sebagai Timbalan Presiden. Presiden tidak boleh diambil sebab jawatan presiden wajib disandang Ketua Bomba Tokyo, jadi beliau dilantik secara automatik dan akan melantik tiga timbalan," katanya.

Beliau berkata platform berkenaan bertujuan memperkukuh perkongsian kepakaran, idea dan program dalam kalangan negara anggota dengan mengambil kira insiden serta bencana yang berlaku di rantau Asia.

Beliau berkata persidangan itu memberi peluang kepada negara anggota untuk menimba pengalaman dan pengetahuan melalui pembentangan pelbagai inisiatif berkaitan pengurangan risiko bencana dan kebakaran yang dilaksanakan di negara masing-masing.

"Kalau kita tengok Jepun, mereka sering membentangkan persediaan menghadapi gempa bumi. Kita mungkin tidak mengalaminya, tetapi apabila melihat persediaan mereka, kita dapat idea bagaimana persediaan kita boleh diperkukuhkan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.