Wartawan perlu celik digital, kuasai teknologi semasa

29 Mei 2026, 11:30 AM
Wartawan perlu celik digital, kuasai teknologi semasa

SHAH ALAM, 29 MEI: Pengamal media perlu celik digital dan menguasai teknologi semasa supaya penyampaian maklumat kekal pantas, berkesan serta relevan seiring perubahan landskap media.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata bidang kewartawanan perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi terutama penggunaan platform digital bagi memperluas capaian maklumat kepada masyarakat.

“Pengamal media tidak boleh terlalu selesa dengan teknologi atau kaedah lama kerana landskap penyampaian maklumat sentiasa berubah dan berkembang seiring kemajuan digital yang memerlukan penyampaian berita lebih pantas dan tepat.

“Penggunaan teknologi digital membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih cepat dan efisien sekali gus membantu pengamal media memenuhi keperluan penonton yang semakin bergantung kepada akses maklumat segera,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) di Surau Haji Hassan, Sijangkang, semalam.

Izham menegaskan, wartawan serta organisasi media perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan berkaitan teknologi baharu untuk kekal berdaya saing dalam industri kewartawanan moden.

Dalam pada itu, beliau berkata amalan demokrasi turut memerlukan ruang kritikan yang sihat terhadap pemimpin, namun ia perlu disampaikan secara berhemah, beretika dan profesional berasaskan fakta yang sahih.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media di negara ini mendepani cabaran semasa termasuk ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, sambutan HAWANA tahun ini disambut dalam suasana kebimbangan dalam kalangan petugas media yang berasa risau terhadap keselamatan pekerjaan serta masa masa depan industri kewartawanan.

Tarikh 29 Mei diisytiharkan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media serta wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.