SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil langkah segera mempercepat projek tebatan banjir Jalan Kapar yang tertangguh susulan kerja pengalihan utiliti bawah tanah hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK Norfiza Mahfiz berkata pihaknya mengeluarkan surat rasmi kepada agensi berkaitan pada 12 Mei lalu bagi mempercepat urusan dokumentasi dan pengalihan utiliti supaya projek dapat disiapkan segera.
Katanya, kelewatan berlaku selepas utiliti tambahan ditemukan ketika kerja pembinaan dijalankan dan tidak termasuk dalam perancangan asal projek.
“Siri mesyuarat teknikal turut diadakan dengan mesyuarat terakhir pada 8 Mei lalu mencapai beberapa keputusan,” katanya dalam kenyataan kepada Media Selangor.
Menurutnya, Gas Malaysia Bhd masih menunggu pelantikan kontraktor bagi kerja pengalihan paip gas.
Beliau berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang menyiapkan Rechargeable Job Order (RJO), iaitu permohonan kerja elektrik seperti pengalihan utiliti, selain meminta permohonan dikemukakan semula atas nama MBDK.
“TNB turut mencadangkan kaedah korekan terbuka bagi laluan kabel baharu,” katanya.
Norfiza berkata Telekom Malaysia Bhd (TM) pula masih menunggu maklum balas pengendali berhubung kabel gentian optik yang terputus di tapak projek.
Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meminta kontraktor menyediakan perlindungan sementara untuk paip terdedah, selain memaklumkan kerja pengalihan paip turut menggunakan kaedah korekan terbuka.
Semalam, FMT melaporkan penduduk Taman Seri Sementa, Taman Klang Perdana dan Kampung Perepat kecewa dengan kelewatan projek tebatan banjir Jalan Kapar yang turut memburukkan kesesakan lalu lintas.
Projek pembinaan sistem saliran baharu berhampiran Taman Sungai Kapar Indah yang bermula pada 3 September tahun lalu asalnya dijadual siap Mac lalu sebelum ditunda ke Ogos, namun kini dijangka lewat hingga tahun depan.
Sebelum ini, pengguna mempunyai dua laluan keluar menuju Klang dan Kapar, namun laluan ke arah Klang kini ditutup bagi pelaksanaan projek.
Keadaan bertambah sesak apabila pengguna jalan raya terpaksa beratur panjang untuk membuat pusingan U susulan tempoh lampu hijau yang singkat dan peningkatan jumlah kenderaan.
Bagi mengurangkan kesesakan, Norfiza berkata lampu isyarat sementara akan dipasang bermula hari ini.
Beliau berkata kos utiliti sudah dimasukkan dalam reka bentuk asal projek, namun utiliti tambahan ditemukan ketika pembinaan dijalankan dan kos berkaitan akan ditanggung menerusi projek berkenaan.










