Kaedah retort bantu daging korban tahan lama, tetapi perlu diproses secara selamat

29 Mei 2026, 9:43 AM
Kaedah retort bantu daging korban tahan lama, tetapi perlu diproses secara selamat
Kaedah retort bantu daging korban tahan lama, tetapi perlu diproses secara selamat
Kaedah retort bantu daging korban tahan lama, tetapi perlu diproses secara selamat

SHAH ALAM, 29 MEI: Kaedah retort berpotensi menjadi alternatif bagi menyimpan daging korban dalam tempoh lebih lama, namun proses tersebut perlu dilakukan mengikut piawaian keselamatan makanan bagi mengelakkan risiko pencemaran bakteria berbahaya.

Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia, Dr Nor Afizah Mustapha berkata daging dikategorikan sebagai makanan asid rendah yang mudah tercemar dengan mikroorganisma sekiranya tidak diproses secara betul.

Menurut beliau, proses retort menggunakan gabungan suhu dan tekanan tinggi bagi membunuh bakteria sekali gus membolehkan makanan disimpan lebih lama pada suhu bilik.

“Daging boleh dimasak terlebih dahulu sebelum melalui proses retort, malah suhu tinggi dalam proses itu juga boleh memasakkan daging secara terus.

“Retort ialah kaedah pengawetan makanan menggunakan suhu dan tekanan tinggi untuk membunuh bakteria. Sebab itu makanan retort boleh tahan lama dan selamat disimpan pada suhu bilik,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Afizah Mustapha menjadi tetamu program Bicara Semasa bertajuk Makanan Retort: Tahan Lama Tapi Adakah Selamat? terbitan Media Selangor pada 26 Mei 2026

Bagaimanapun, beliau menegaskan proses tersebut tidak sesuai dilakukan secara sembarangan di rumah menggunakan pressure cooker kerana pemanasan yang tidak sekata boleh menyebabkan makanan gagal mencapai suhu keselamatan yang diperlukan.

“Bahagian bawah mungkin lebih cepat panas berbanding bahagian atas. Jadi kita tidak tahu sama ada keseluruhan makanan benar-benar mencapai suhu sepatutnya.

“Proses retort lebih sesuai dijalankan oleh syarikat atau industri yang mempunyai sistem pemprosesan dan validasi lengkap bagi memastikan makanan selamat disimpan untuk tempoh lama,” katanya.

Ketahanan makanan retort bukan kerana pengawet

Dalam pada itu, Nor Afizah berkata masih ramai beranggapan makanan retort mengandungi bahan pengawet yang tinggi hanya kerana ia mampu bertahan lama.

Menurutnya, ketahanan makanan retort sebenarnya lebih dipengaruhi proses pemanasan dan tekanan tinggi berbanding penggunaan bahan pengawet.

“Ada produk yang tidak memerlukan bahan pengawet tambahan kerana proses retort itu sendiri sudah membunuh kebanyakan mikroorganisma,” katanya.

Proses pensterilan menggunakan suhu tinggi merupakan antara langkah penting dalam penghasilan makanan retort bagi memastikan produk selamat dan tahan lama. Foto DR NOR AFIZAH MUSTAPHA

Beliau berkata bahan tambahan makanan atau food additive pula lazimnya digunakan untuk membantu mengekalkan warna, tekstur dan kualiti makanan sepanjang tempoh penyimpanan.

“Makanan retort masih mengekalkan kebanyakan nutrisi penting seperti protein, lemak dan karbohidrat walaupun terdapat sedikit kehilangan vitamin yang sensitif terhadap haba,” ujarnya.

Praktikal sebagai stok kecemasan

Mengulas lanjut, beliau berkata makanan retort juga sesuai dijadikan stok makanan kecemasan terutama ketika banjir, bencana atau gangguan bekalan makanan kerana tidak memerlukan peti sejuk dan boleh disimpan lama.

“Kalau berlaku situasi seperti banjir dan tiada elektrik, makanan retort boleh menjadi penyelamat kerana ia boleh disimpan lama pada suhu bilik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya sentiasa memeriksa keadaan pembungkusan makanan retort sebelum dimakan.

“Kalau pembungkusan sudah kembung, itu antara tanda kemungkinan berlaku pembentukan gas akibat mikroorganisma dan makanan itu tidak lagi selamat dimakan.

“Makanan retort juga sebaiknya disimpan pada suhu bilik dan jika boleh di bawah 30 darjah Celsius bagi mengelakkan mikroorganisma terus membiak,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.