Hospital awam PJ perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2027, RMK13 - ADN

29 Mei 2026, 3:35 AM
Hospital awam PJ perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2027, RMK13 - ADN

SHAH ALAM, 29 MEI: Projek pembinaan hospital awam di Petaling Jaya perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2027 serta dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kemudahan kesihatan itu dapat direalisasikan tanpa sebarang kelewatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata langkah berkenaan penting supaya komitmen pembinaan hospital awam di kawasan tersebut tidak terus tertangguh sekali gus memperkukuh akses kesihatan awam untuk penduduk sekitar Petaling Jaya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mendapatkan peruntukan menerusi Belanjawan 2027 bagi membolehkan proses pengambilan dan penyediaan tanah, kelulusan pelan, penilaian kapasiti infrastruktur serta penubuhan pengurusan projek dilaksanakan lebih awal.

“Kerja yang dibiayai melalui Belanjawan 2027 juga mesti memastikan projek ini dimasukkan dalam kitaran Rolling Plan RMK13 yang terdekat, berkemungkinan RP3 pada 2028.

“Detik penting ketiga untuk memastikan kemajuan projek ialah Semakan Pertengahan Penggal RMK yang dijangka pada suku ketiga 2028,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Yi Wei turut mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pemuktamadan tapak hospital awam untuk Petaling Jaya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan Negeri dan KKM bertindak segera menyelesaikan urusan pentadbiran tanah termasuk proses penukaran status guna tanah supaya projek berkenaan dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

Katanya, tindakan awal amat penting memandangkan kos tanah di Lembah Klang terus meningkat dan boleh menjejaskan perancangan projek sekiranya proses pengambilan tanah tertangguh.

“Persediaan awal mekanisme pembiayaan dan proses penukaran status tanah dapat membantu mengurangkan risiko harga pengambilan akhir menjadi terlalu mahal untuk KKM sehingga mencetuskan keperluan mencari tapak lain.

“Bagi mengelakkan situasi ‘ulang tayang’, urusan pentadbiran tanah mesti dirunding dan dilaksanakan segera supaya projek ini benar-benar dimuktamadkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Yi Wei turut mencadangkan penyelesaian interim bagi meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan awam sementara menunggu hospital tersebut siap dibina yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.

Beliau berkata penduduk Petaling Jaya masih memerlukan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mendesak dan mampu milik sepanjang tempoh berkenaan.

“Penjagaan kesihatan mesti kekal sebagai barangan awam yang tidak terganggu oleh langkah berjimat cermat dan dilindungi daripada pengautan keuntungan.

“Jika kita tidak meninggalkan mentaliti berjimat cermat atau menunjukkan iltizam untuk menangani kekurangan tenaga kerja, gaji yang adil, beban kerja berlebihan atau kesesakan, hospital awam baharu di PJ mungkin masih bergelut untuk memenuhi keperluan kesihatan penduduk,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.