SHAH ALAM, 28 MEI: Surau sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan menerima sumbangan 10 ekor lembu dan lapan ekor kambing sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Wakil rakyatnya Pua Pei Ling berkata sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu bertujuan membantu pelaksanaan ibadah korban selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, beliau sempat meninjau beberapa surau di kawasan DUN berkenaan bagi melihat sendiri suasana ibadah korban yang berlangsung penuh semangat kerjasama dan ukhuwah.
“Saya sempat singgah ke beberapa surau di sekitar DUN Bukit Lanjan bagi melihat sendiri suasana ibadah korban yang penuh dengan semangat gotong-royong, keikhlasan dan ukhuwah masyarakat,” katanya di Facebook.
Antara surau yang diziarahi ialah Surau Al Asliyah KOA di Desa Temuan, Surau Nurhidayah Apartmen Harmoni, Surau Al Firdaus Saujana Damansara, Surau Al Ikhwan Aman Puri dan Surau At-Taqwa Usaha Jaya.
Turut dikunjungi Surau Al Ihsan Taman Ehsan, Surau Kebajikan Selayang Utama, Surau An Nuur Pelangi Damansara serta Surau Flora Damansara.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam serta berharap sambutan itu membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada semua.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi menjayakan Program Sumbangan Korban tahun ini melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing disediakan, dengan jaminan ternakan berkualiti tinggi bagi memastikan agihan kepada penerima berjalan lancar dan memberi manfaat optimum.








