Remaja 13 tahun dipercayai jadi mangsa pukul lima pelajar perempuan

28 Mei 2026, 7:44 AM
Remaja 13 tahun dipercayai jadi mangsa pukul lima pelajar perempuan

SHAH ALAM, 28 MEI: Pelajar perempuan berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa pukul beramai-ramai oleh lima pelajar perempuan lain dalam kejadian di Kota Kinabalu minggu lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas rakaman video memaparkan mangsa dipukul tular di media sosial sejak semalam sebelum mengundang perhatian ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 23 Mei lalu jam 7.51 pagi yang dibuat sendiri oleh mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 22 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu.

“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki selain lebam telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, mereka dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.

Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati.

“Mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.

“Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tersebar di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit satu saat memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai dipercayai berlaku di luar kawasan sekolah sehingga mengundang kecaman orang ramai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.