SHAH ALAM, 28 MEI: Kawasan perumahan berkepadatan rendah di Shah Alam akan terus dipelihara mengikut perancangan asal bandar raya itu meskipun pembangunan pesat sedang berlaku di beberapa zon utama.
Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof berkata pembangunan berskala besar seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam, Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dan SA Sentral tertumpu di kawasan pembangunan utama termasuk Seksyen 7 dan 13.
Menurut beliau, kawasan kediaman di Seksyen 2, 3, 4, 6, 8, 10, 11 dan 12 sememangnya dirancang sebagai kawasan berkepadatan rendah dengan pembangunan komersial yang terhad sejak awal pembangunan Shah Alam.

“Kawasan perumahan berkepadatan rendah di Seksyen 2, 3, 4, 6, 8, 10, 11 dan 12 sememangnya dirancang dengan pembangunan komersial yang kecil dan terhad sejak awal pembangunan bandar raya itu.
“Tiada isu kawasan ini dipinggirkan kerana dari awal lagi ia bukan dirancang untuk bersaing dengan kawasan pembangunan berintensiti tinggi seperti Seksyen 7, 13, 14 dan 15,” katanya kepada Media Selangor.
Azli berkata kawasan kediaman sedia ada akan terus dikekalkan sebagai komuniti tersusun dan selesa didiami selaras dengan konsep asal Shah Alam yang menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan bandar dan kualiti hidup penduduk.
Dalam masa sama, beliau berkata perhatian turut diberikan kepada usaha menaik taraf pusat komersial lama di Seksyen 6, khususnya kawasan berhadapan Pasar Moden Seksyen 6 yang kini mempunyai banyak lot kedai tidak dimanfaatkan selain reka bentuk bangunan yang tidak lagi menarik.
Menurutnya, kawasan bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu berpotensi dibangunkan semula dengan konsep lebih moden tanpa menjejaskan karakter asal kawasan kediaman berkepadatan rendah di sekitarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Malay Mail sebelum ini yang menyifatkan Seksyen 6 sebagai antara kawasan di Shah Alam yang masih mengekalkan identiti asal bandar selain mula menarik minat pengusaha kafe dan golongan kreatif.











