80 pelajar cemerlang SPM DUN Kuala Kubu Baharu terima insentif RM16,000

28 Mei 2026, 2:51 AM
80 pelajar cemerlang SPM DUN Kuala Kubu Baharu terima insentif RM16,000

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 80 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menerima insentif khas sebagai penghargaan atas pencapaian memperoleh keputusan 5A dan ke atas.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata inisiatif itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM16,000 sebagai usaha berterusan menghargai kecemerlangan akademik pelajar di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja bertujuan mengiktiraf kejayaan pelajar, malah menjadi simbol sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di Kuala Kubu Baharu.

“Program ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada pelajar, malah tanda sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa pendidikan di Kuala Kubu Baharu.

“Tahun ini merupakan tahun ke-14 kita meneruskan usaha menghargai dan mengiktiraf pelajar cemerlang di KKB,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao meraikan 80 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam satu majlis dipekarangan pusat khidmat masyarakat DUN berkenaan pada 24 Mei 2026. Foto Facebook Pang Sock Tao

Sock Tao berkata program itu diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus mencipta kejayaan serta melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan kejayaan pelajar tidak dapat dipisahkan daripada peranan ibu bapa dan guru yang sentiasa memberi dorongan, sokongan serta bimbingan sepanjang perjalanan akademik mereka.

“Tahniah dan syabas kepada semua penerima. Terus belajar, terus meneroka dan jadilah versi terbaik diri masing-masing,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.