GOMBAK, 27 MEI: Dato' Menteri Besar meneruskan tradisi menziarahi lokasi ibadah korban di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Parlimen Gombak sempena sambutan Aidiladha.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata Balai Bomba Sukarela Gombak di Jalan Setia yang menjadi lokasi pelaksanaan ibadah korban tahun ini turut berperanan sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata pasukan bomba sukarela di kawasan itu bukan sahaja membantu operasi kebakaran dan kecemasan, malah aktif menyediakan bantuan pengurusan jenazah kepada masyarakat.
Menurutnya, pasukan berkenaan turut bergabung dengan tujuh badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa yayasan dalam menjayakan khidmat kemasyarakatan tersebut.
“Tahun lalu 449 jenazah diuruskan manakala bagi tahun ini jumlahnya sudah melebihi 100 setakat ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada anggota bomba sukarela di sini yang menunjukkan lambang pengorbanan sebenar, bukan sahaja berkhidmat ketika waktu kecemasan, malah di luar waktu bekerja mereka tetap membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, Amirudin merasmikan pembukaan surau dan bilik pengurusan jenazah di balai berkenaan bagi kemudahan anggota dan komuniti setempat.
Beliau berkata usaha digerakkan Balai Bomba Sukarela Gombak membuktikan semangat kebersamaan serta kesukarelawanan terus kukuh dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.












