ADN muda Selangor 2026 buka peluang anak muda dalami demokrasi

27 Mei 2026, 8:10 AM
ADN muda Selangor 2026 buka peluang anak muda dalami demokrasi

SHAH ALAM, 27 MEI: Anak muda di Selangor berusia antara 18 hingga 35 tahun dipelawa menyertai Program ADN Muda Selangor 2026 yang dilaksanakan sejak 2023 sebagai platform pendedahan awal kepada proses demokrasi dan perbahasan dasar negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata program berkenaan memberi peluang kepada golongan muda memahami fungsi wakil rakyat selain merasai sendiri pengalaman perbahasan seperti sidang Dewan Negeri.

Menurutnya, program itu juga membuka ruang kepada peserta bertukar pandangan dengan ADN muda dari pelbagai kawasan di Selangor.

“Daripada beberapa siri yang saya terlibat, saya melihat program ini sangat baik sebagai pendedahan kepada anak muda, sama ada dalam aspek pembentukan dasar, perbahasan dalam sidang dewan serta peluang bertemu dan bertukar pandangan dengan ADN muda lain,” katanya menerusi Facebook.

ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid bercakap kepada media selepas melancarkan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa dan Modul Panduan Intervensi sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam pada 30 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Danial mengajak anak muda Selangor segera membuat permohonan menyertai program berkenaan sebelum tarikh tutup 29 Mei ini.

Menurut beliau, pendaftaran masih dibuka dan pihaknya menggalakkan anak muda untuk merebut peluang tersebut, sama ada di kawasan masing-masing atau di lokasi yang ditetapkan.

“Saya harap semua dapat mengambil kesempatan ini. Hantarkan penyertaan terlebih dahulu kerana tempoh pendaftaran hanya berbaki beberapa hari,” katanya.

Syarat penyertaan menetapkan pemohon mestilah berumur 18 hingga 35 tahun, warganegara Malaysia, fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pengundi di Selangor atau menetap di negeri itu.

Program ADN Muda Selangor dijangka diteruskan dengan sesi terbaharu pada Julai depan sebagai kesinambungan usaha memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai proses demokrasi dan pentadbiran negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.