Selangor pertimbang tindakan lebih tegas terhadap penjual rokok seludup

27 Mei 2026, 4:41 AM
Selangor pertimbang tindakan lebih tegas terhadap penjual rokok seludup
Selangor pertimbang tindakan lebih tegas terhadap penjual rokok seludup

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan tindakan lebih tegas, termasuk menarik balik lesen perniagaan premis yang dikesan berulang kali menjual rokok seludup.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata, perkara itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta penelitian pihak berkuasa.

“Kerajaan Negeri sentiasa meneliti keperluan untuk memperketatkan tindakan terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan berulang, termasuk mempertimbangkan tindakan terhadap lesen perniagaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta hasil semakan pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada Media Selangor semalam.

Ng berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk membatalkan lesen premis.

Ia susulan satu kaji selidik badan pemikir Wawasanex yang mendapati hampir dua daripada tiga rakyat Malaysia (63.8 peratus) membeli rokok seludup dalam tempoh 12 bulan lalu.

Kaji selidik membabitkan 603 responden di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak itu turut mendapati rokok seludup kini lebih mudah diperoleh di kedai runcit harian.

Kajian turut mendapati 68.8 peratus pembeli mengaku mendapatkannya daripada penjual warga asing.

Responden mendedahkan faktor pembelian rokok seludup berikutan harganya lebih murah dan mudah diperolehi.

Tinjauan terdahulu oleh firma penyelidikan pasaran global Nielsen pada Januari lalu mendapati 56.7 peratus rokok yang dijual di Malaysia, atau hampir enam daripada setiap 10 kotak, adalah rokok seludup sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan anggaran RM2 bilion hasil cukai setiap tahun.

Ng menambah walaupun bidang kuasa utama berkaitan kes penyeludupan terletak di bawah agensi Persekutuan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, namun Selangor turut memandang serius isu berkenaan.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memandang serius isu penjualan rokok seludup dan akan terus mempertingkatkan pemantauan serta kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung secara lebih berkesan.,” katanya.

Jelasnya, antara tindakan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan termasuk operasi pemantauan berkala, pemeriksaan premis perniagaan, rampasan barangan tidak sah serta pengeluaran kompaun mengikut peruntukan undang-undang dan bidang kuasa agensi berkaitan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.