MySel bantu rakyat Selangor selesaikan isu dokumentasi, kewarganegaraan

31 Mei 2026, 1:00 AM
MySel bantu rakyat Selangor selesaikan isu dokumentasi, kewarganegaraan
MySel bantu rakyat Selangor selesaikan isu dokumentasi, kewarganegaraan

SHAH ALAM, 31 MEI: Unit MySel terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Selangor tanpa mengira kaum yang berdepan masalah dokumentasi diri seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, kewarganegaraan serta isu melibatkan anak angkat dan individu tanpa kerakyatan.

Pegawai Operasi Unit MySel, Shanta Venugopal berkata, program diwujudkan kerajaan negeri itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan individu yang tidak mempunyai akses atau pengetahuan mengenai saluran permohonan dokumen rasmi.

Jelasnya, isu itu tidak hanya tertumpu kepada kumpulan kaum tertentu sahaja, sebaliknya setiap mereka mempunyai cabaran dokumentasi tersendiri.

Pegawai Operasi Unit MySel, Shanta Venugopal (dua dari kanan) berkata, program diwujudkan kerajaan negeri itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan individu yang tidak mempunyai akses atau pengetahuan mengenai saluran permohonan dokumen rasmi. FOTO Ihsan Shanta Venugopal

Menurutnya, dalam masyarakat India, antara masalah paling ketara yang sering dikenal pasti ialah ketiadaan kad pengenalan faktor seperti kelahiran tidak didaftarkan, kehilangan dokumen lama dan kesukaran mengesan rekod keluarga terdahulu.

“Ramai yang datang jumpa kami sebenarnya sudah berusia belasan malah puluhan tahun tetapi masih tiada kad pengenalan. Ada yang memang lahir di Malaysia, cuma mereka tak dapat buktikan status kewarganegaraan sebab dokumen keluarga tak lengkap,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Bagi masyarakat Cina pula, mereka banyak berdepan isu dokumentasi melibatkan anak angkat, khususnya kes pengambilan anak yang tidak didaftarkan secara rasmi sejak awal.

“Ada ibu bapa yang jaga anak dari kecil macam anak sendiri, tetapi dokumen pengangkatan tak dibuat dengan lengkap. Jadi bila anak dah besar, proses nak buat sijil lahir atau kad pengenalan jadi susah,” katanya.

Selain itu, masyarakat Melayu turut menghadapi masalah dokumentasi disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan secara rasmi sehingga menjejaskan proses pendaftaran kelahiran anak.

Menurut Puan Shanta, terdapat juga kes melibatkan rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut saluran sah.

“Kadang-kadang ada pasangan kahwin dengan warga asing tetapi perkahwinan itu tak didaftarkan. Jadi bila anak lahir, urusan dokumentasi jadi lebih rumit sebab status perkahwinan dan kewarganegaraan perlu disahkan terlebih dahulu,” katanya.

Pegawai Operasi Unit MySel, Shanta Venugopal (kanan) berkata, program diwujudkan kerajaan negeri itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan individu yang tidak mempunyai akses atau pengetahuan mengenai saluran permohonan dokumen rasmi. FOTO Ihsan Shanta Venugopal

Beliau berkata, masalah dokumentasi memberi kesan besar kepada kehidupan individu terbabit kerana mereka sukar mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan formal dan rawatan kesihatan.

Menurutnya, individu tanpa dokumen pengenalan diri juga tidak layak menikmati pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan kerajaan negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), bantuan pendidikan serta program kebajikan lain.

“Ada yang memang dah lama duduk di Selangor, tetapi tak boleh mohon bantuan sebab tak ada kad pengenalan atau status kewarganegaraan mereka masih belum disahkan,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga kes melibatkan individu 'stateless' atau tidak mempunyai kewarganegaraan yang memerlukan penelitian menyeluruh bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut, Unit MySel menyediakan khidmat nasihat, semakan dokumen serta bantuan penyelarasan permohonan dengan agensi kerajaan berkaitan.

“Peranan MySel bukan sekadar tolong isi borang. Kami akan cuba bantu dan bimbing pemohon sampai proses selesai. Setiap kes lain cabarannya, ada yang ambil masa panjang sebab kena semak rekod lama dan cari dokumen tambahan,” katanya.

Pegawai Operasi Unit MySel, Shanta Venugopal (dua dari kiri) berkata, program diwujudkan kerajaan negeri itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan individu yang tidak mempunyai akses atau pengetahuan mengenai saluran permohonan dokumen rasmi. FOTO Ihsan Shanta Venugopal

Sementara itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata kerajaan negeri komited mencari kaedah lebih efisien bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh hak mereka sebagai warganegara dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sejak diperkenalkan, program MySel dilaporkan berjaya menyelesaikan lebih 4,000 kes berkaitan masalah dokumentasi melibatkan permohonan sijil kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan, manakala kira-kira 5,000 lagi kes masih dalam siasatan dan proses tindakan lanjut.

Shanta turut menggalakkan orang ramai supaya segera mendaftarkan kelahiran anak, merekodkan perkahwinan secara rasmi serta memastikan semua dokumen keluarga disimpan dengan baik bagi mengelakkan masalah dokumentasi pada masa hadapan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.