SHAH ALAM, 26 MEI: Bekalan bahan mentah utama antaranya seperti ayam, daging, sayur dan santan dijangka mencukupi untuk menampung keperluan pengguna sempena Hari Raya Aidiladha.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan pemantauan berterusan terhadap rantaian bekalan agromakanan negara bermula di peringkat ladang, pemborong dan peruncit terus dilaksana bagi memastikan bekalan kekal mencukupi serta mudah didapati.
Selain itu, FAMA berkata harga bahan mentah sempena hari raya ini juga didapati masih berada pada tahap terkawal dan stabil bagi kebanyakan barangan keperluan utama, lapor Berita Harian.
“Melalui pemantauan FAMA, harga semasa didapati tidak menunjukkan peningkatan luar biasa, sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan sepanjang musim perayaan.
"FAMA akan terus mempergiatkan pemantauan harga di outlet pemasaran FAMA serta pasaran utama di seluruh negara bagi memastikan kestabilan harga sentiasa terjamin," katanya.
FAMA memaklumkan permintaan terhadap bahan mentah juga dijangka meningkat terutama ayam, daging, santan, cili, bawang dan sayur susulan persiapan hari raya dan pelaksanaan ibadah korban.
Bagaimanapun, FAMA menegaskan bahawa tiada kawasan dikenal pasti mengalami kekurangan bekalan yang serius setakat ini.
"Namun, kawasan yang bergantung pada bekalan sayur dari tanah tinggi atau sumber import berpotensi terkesan jika berlaku gangguan cuaca, masalah logistik atau perubahan harga import.
"FAMA akan sentiasa bekerjasama dengan pengeluar, pemborong dan agensi berkaitan bagi memastikan pengagihan bekalan dapat diselaraskan dengan baik, khususnya di kawasan mencatat permintaan tinggi dan luar bandar," katanya.
Bagi memastikan bekalan makanan dijual pada harga berpatutan sepanjang musim perayaan, FAMA melaksanakan intervensi pasaran menerusi Jualan Agro MADANI dan outlet pemasarannya.
FAMA turut memperkukuh kerjasama dengan pengeluar serta pemborong bagi memastikan rantaian pemasaran agromakanan terus berada pada tahap stabil.








