MBDK hapus 2,880 gagak dalam operasi kawal kebersihan bandar

26 Mei 2026, 7:29 AM
MBDK hapus 2,880 gagak dalam operasi kawal kebersihan bandar

SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berjaya menghapuskan 2,880 ekor gagak menerusi Operasi Menembak Gagak Siri 1/2026 yang dijalankan di sekitar kawasan Klang pada 16 Mei lalu.

Menurut Datuk Bandar MBDK, Dato’ Haji Abdul Hamid Hussain, operasi yang bermula pada jam 7 pagi hingga 7 malam itu dilaksanakan secara serentak bersama beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor bagi mengawal populasi gagak yang boleh menjejaskan kebersihan, keselesaan dan kesihatan awam.

"Seramai 28 penembak berlesen terlibat dalam operasi berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

"Sebagai galakan kepada penembak yang terlibat serta menyokong usaha kawalan populasi gagak secara berterusan, MBDK turut membayar RM16,740 sebagai bayaran bounti berdasarkan jumlah tangkapan yang direkodkan sepanjang operasi berlangsung," katanya dalam Perutusan Mesyuarat Penuh MBDK Bilangan 5/2026.

Abdul Hamid turut menjelaskan yang MBDK akan terus komited melaksanakan operasi seumpama itu secara berkala bagi memastikan persekitaran bandar lebih bersih, selesa dan sejahtera untuk warga Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.