SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merancang mengambil alih lebih 70 dewan komuniti yang dikenal pasti rosak atau terbiar di sekitar kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak bagi menyemak status pemilikan serta hak milik tanah sebelum proses pengambilalihan dilakukan.
Menurut beliau, sebanyak 73 dewan dikenal pasti dengan kebanyakannya dibina sekitar tahun 1980-an dan 1990-an oleh syarikat swasta, korporat serta parti politik.
“Bagaimanapun, ada antaranya tidak diselenggara dengan baik selain ditinggalkan sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna,” katanya selepas mesyuarat penuh MPS di Bandar Baru Selayang.
Beliau berkata dewan yang terletak di atas tanah kerajaan di kawasan kampung berkemungkinan diletakkan di bawah pejabat daerah dan tanah, manakala dewan di kawasan perumahan akan diwartakan di bawah MPS.
Katanya, struktur yang dibina di atas tanah persendirian pula memerlukan perbincangan lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 5 Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi membangkitkan isu keselamatan membabitkan beberapa dewan komuniti termasuk insiden siling runtuh di sebuah dewan di Taman Selaseh tahun lalu.
Beliau berkata kontraktor mendapati siling di bahagian pejabat dewan berkenaan telah rosak dan mula mereput.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon 24 Fok Wai Mun turut menyokong langkah pengambilalihan berkenaan bagi membolehkan fasiliti komuniti disenggara dengan lebih baik untuk kegunaan penduduk.








