Syarikat perkapalan diberi sebulan hantar semula sisa elektronik ke negara asal

26 Mei 2026, 4:25 AM
Syarikat perkapalan diberi sebulan hantar semula sisa elektronik ke negara asal
Syarikat perkapalan diberi sebulan hantar semula sisa elektronik ke negara asal

SHAH ALAM, 26 MEI: Syarikat perkapalan yang membawa masuk kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) secara haram diberi tempoh sebulan untuk menghantarnya semula ke negara asal.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata lanjutan tempoh boleh dipertimbangkan bergantung kepada keadaan tertentu.

Menurut beliau, pihaknya bertanggungjawab memastikan semua penghantaran sisa elektronik terbabit dibawa keluar dari negara dan dipulangkan ke lokasi asal, lapor The Star.

Katanya, syarikat perkapalan yang didapati membawa masuk kontena menggunakan pengisytiharan palsu perlu bertanggungjawab menghantar semula penghantaran itu bersama dokumen lengkap.

Beliau berkata sebanyak 295 daripada 559 kontena yang diperiksa di Pelabuhan Klang antara Januari hingga April tahun ini didapati membawa sisa elektronik dengan jumlah berat mencecah 7,028,008 kilogram.

“Kes seperti ini kebiasaannya melibatkan pengisytiharan palsu oleh pengimport atau syarikat perkapalan,” katanya.

Nik Ezanee berkata operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dijalankan berdasarkan risikan terhadap penghantaran mencurigakan yang memasuki pelabuhan.

Menurutnya, selepas Jabatan Alam Sekitar mengesahkan kandungan sebagai sisa elektronik, kes akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk arahan eksport semula ke negara asal.

Beliau berkata kontena yang disita tidak dibenarkan keluar dari kawasan pelabuhan manakala penyimpanan diuruskan operator pelabuhan sehingga proses penguatkuasaan selesai.

Tambahnya, Mac merekodkan jumlah pemeriksaan tertinggi tahun ini membabitkan 253 kontena dengan 165 daripadanya mengandungi sisa elektronik seberat 3,790,752 kilogram.

Sejak penubuhan Pasukan Petugas Bersama E-Waste Pelabuhan Klang, sebanyak 55 kontena sudah dihantar keluar dari negara ini.

Dalam masa sama, beliau mengakui agensi penguat kuasa masih berdepan kekangan tenaga kerja dan logistik termasuk fasiliti, aset lapangan serta tenaga mahir dalam menangani kemasukan sisa elektronik haram.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.