SHAH ALAM, 26 MEI: Faktor cinta antara punca segelintir masyarakat mudah terjebak dalam ajaran sesat selain pengaruh rawatan alternatif dan sikap taasub terhadap ketua kumpulan.
Ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor Mohamad Shukry Sulaiman berkata ada individu yang sanggup mengabai larangan agama demi mempertahan hubungan dengan pasangan yang berfahaman sesat.
“Sanggup berkahwin dengan warga asing walaupun mereka akui mereka Syiah yang telah diwarta haram. Tapi sebab cinta, cinta itu buta. Dia tidak mengenal apa, janji dicintai,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau memberitahu faktor demografi Selangor yang menjadi tumpuan ramai untuk mencari kerja juga menyumbang kepada penyebaran fahaman luar termasuk Syiah yang dibawa warga asing.
“Mereka datang cari kerja tapi pada masa sama, dengan kepercayaan yang mereka bawa dari luar dan dipraktik di sini. Masalahnya orang kita pula yang ikut. Contohnya Syiah,” katanya.
Menurut Mohamad Shukry, ajaran sesat tidak tertumpu kepada kelompok umur tertentu sebaliknya kejahilan termasuk tiada pegangan akidah kukuh antara faktor seseorang mudah dipengaruhi.
“Selagi dia tidak ada kesedaran, tak berkumpul dengan orang, tak mahu belajar ilmu agama, dia rasa dia betul, rasa tok guru dia yang betul, itu yang susah.
“Sebab itu ada tigalah, harta, wanita, takhta (atau) kedudukan. Tiga benda ini dia menjadi satu tarikanlah kepada mana-mana ajaran sesat,” katanya lagi.
Beliau berkata ketua kumpulan juga selalu ditonjolkan dengan imej kononnya memiliki kelebihan tertentu termasuk perawatan bagi memudahkan usaha merekrut pengikut baharu termasuk kalangan profesional.
“Kadang-kadang pengikut datang untuk dapatkan rawatan, berubat tetapi lama-lama jadi peluang dan ruang untuk dapatkan pengikut. Ketuanya bukan biasa-biasa, pelbagai latar belakang.
“Ada yang memang orang yang intelektual, ada PHD, ada orang biasa tapi ada pengaruh, ada bomoh. Jadi benda ini mudah untuk orang ikut berdasarkan kelebihan itu. Pengikut pun sama, ada juga yang berpendidikan,” katanya.
Beliau berkata modus operandi kumpulan sedemikian tidak hanya tertumpu kepada pertemuan fizikal tetapi juga berleluasa di media sosial termasuk kumpulan yang digazet sebagai menyeleweng.
“Kita layari media sosial, tengok telefon. Sesi pertemuan pun berlaku dalam Zoom, Google Meet. Ada juga yang buat siaran langsung. Bila orang tengok sambil-sambil baring, tengok ada logik dia akan lebih mudah terima,” katanya lagi .
Penolong Mufti Unit Istinbat Nur Atiqah Sulaiman pula memaklumkan majoriti pengikut mudah terpengaruh kerana taasub dengan ketua kumpulan yang dianggap memiliki kelebihan tertentu.

“Kadang-kadang mereka ini join (ikut) sebab nak fast track (laluan cepat) masuk syurga. Ada yang profesional, bijak pandai pun join.
“Jadi taasub. Mereka ingat pemimpin tersebut ada zikir yang boleh bantu dan janji masuk syurga terus,” katanya yang turut menasihati masyarakat supaya sentiasa waspada.









