Ajaran Ahmadiah atau Qadiani kekal sesat - JAWI

25 Mei 2026, 7:26 AM
Ajaran Ahmadiah atau Qadiani kekal sesat - JAWI

SHAH ALAM, 25 MEI: Ajaran Ahmadiah atau Qadiani difatwakan terkeluar daripada ajaran Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2004, dan umat Islam perlu menjauhi sebarang fahaman yang boleh menggugat kesucian akidah.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata pihaknya mengambil maklum mengenai video tular di media sosial baru-baru ini berkaitan kegiatan ajaran Ahmadiah atau Qadiani.

Tegas JAWI, ajaran dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad itu bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mendakwa masih wujud nabi selepas Nabi Muhammad SAW.

“Meskipun ajaran berkenaan dibawa dengan penjenamaan baharu, hakikatnya fahaman terbabit tetap menyeleweng dan boleh menggugat kesucian akidah umat Islam.

"Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara kesucian akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah untuk mengelak diri dan ahli keluarga masing-masing daripada ancaman pemikiran sesat seperti ajaran Ahmadiah atau Qadiani.

"Masyarakat juga perlu menjauhi sebarang bentuk fahaman ekstrem yang boleh menggugat kesucian akidah, selain memastikan institusi keluarga diperkukuhkan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sahih," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai disaran melengkapkan diri dengan ilmu agama yang benar dan sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti, alim ulama serta institusi agama yang diiktiraf supaya keimanan sentiasa berada di landasan diredai Allah SWT.

JAWI memaklumkan pihaknya akan terus komited memperkasakan akidah umat Islam di Wilayah Persekutuan selaras peranannya sebagai agensi yang mengurus dan menyelaras hal ehwal Islam di wilayah itu.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan video berkaitan ajaran Qadiani yang tular di media sosial adalah rakaman lama yang ditularkan semula.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata video yang dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook itu dipercayai dirakam pada 2019.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, JAIS telah menjalankan siasatan di lokasi terbabit sejurus dimaklumkan mengenai penularan video berkenaan pada tahun tersebut.

Hasil siasatan mendapati tiada kesan atau bukti yang menunjukkan berlakunya kegiatan seumpama itu di lokasi berkenaan.

JAIS turut menjalankan pemeriksaan di lapan lokasi lain di sekitar Ulu Yam yang dikaitkan dengan aktiviti sama, namun tidak menemukan sebarang petunjuk atau tanda berhubung kegiatan berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.