SHAH ALAM, 25 MEI: Program kesihatan komuniti Save the Heart 7.0 anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning memberi penekanan terhadap kepentingan amalan gaya hidup sihat serta saringan kesihatan awal bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan jantung.
Program yang berlangsung pada 23 dan 24 Mei di Poliklinik Shaik itu bermula seawal 8.30 pagi dengan pelbagai pengisian termasuk saringan kesihatan dan perkongsian maklumat berkaitan penjagaan jantung.
ADN Kota Kemuning Preakas Sampunathan berkata program sedemikian penting memandangkan masyarakat hari ini sibuk dengan rutin harian sehingga mengabaikan aspek kesihatan diri.
Menurutnya, ramai individu bekerja keras demi keluarga dan masa depan, namun kesibukan itu menyebabkan kesihatan sering diketepikan.
“Hakikatnya, tanpa tubuh badan sihat, sukar untuk kita menikmati kehidupan dengan baik. Program seperti Save the Heart 7.0 penting untuk mengingatkan masyarakat bahawa penjagaan kesihatan bukan hanya dilakukan apabila sakit, tetapi perlu dijadikan amalan berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, senaman berkala dan pemeriksaan kesihatan awal mampu membantu mengurangkan risiko penyakit serius.
Katanya, penyakit jantung kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak termasuk masyarakat.
Preakas turut menjelaskan program berkenaan mencerminkan komitmen Pejabat ADN Kota Kemuning dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti menerusi inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Tambah beliau, pendekatan pencegahan menerusi saringan awal penting bagi membantu masyarakat mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing sebelum berdepan komplikasi lebih serius.
Orang ramai juga digalakkan mengambil peluang menyertai program seumpama itu sebagai langkah awal membudayakan kehidupan lebih sihat dalam komuniti.








