MAKKAH, 25 MEI: Jemaah haji wanita berusia 52 tahun dari Parit Jawa, Johor menjadi jemaah Malaysia ke-10 meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji tahun ini akibat pendarahan otak semalam.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham yang hadir seorang diri untuk menunaikan ibadah haji itu merupakan jemaah daripada kumpulan KT08 dan menginap di Hotel Rehab Al-Janadriyah.
“Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Shefaa pada 5 pagi akibat pendarahan otak.
“Jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharai, Makkah,” menurut kenyataan itu.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.







