Sindiket dadah 'Geng RT' tumpas, 12 suspek didakwa bawah SOSMA

25 Mei 2026, 3:59 AM
Sindiket dadah 'Geng RT' tumpas, 12 suspek didakwa bawah SOSMA

SHAH ALAM, 25 MEI: Sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai “Geng RT” berjaya ditumpaskan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sekitar Lembah Klang sejak 27 April lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah sejak 2020.

Menurutnya, JSJN menjalankan risikan terhadap kumpulan jenayah terancang itu sejak Disembert tahun lalu kerana dipercayai turut terlibat dalam kegiatan jenayah kekerasan.

"Pada 27 April lalu, JSJN berjaya menahan 12 lelaki tempatan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Dalam operasi sama, seorang lagi ahli sindiket turut ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan rampasan ganja seberat 8.5 kilogram,” katanya dalam kenyataan.

Hussein berkata, sindiket berkenaan dipercayai dianggotai ahli kumpulan kongsi gelap dan aktif mengedar pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja serta ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua 12 suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman selama 28 hari dan dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seorang lagi suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada 8 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, JSJN kini giat mengesan baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara.

"Tindakan itu membuktikan komitmen berterusan JSJN dalam melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dadah demi melindungi masyarakat dan generasi masa depan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.