Lapan negara kecam layanan buruk menteri Israel terhadap tahanan GSF

25 Mei 2026, 1:15 AM
Lapan negara kecam layanan buruk menteri Israel terhadap tahanan GSF

ISTANBUL, 25 MEI: Menteri-menteri luar Türkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengecam tindakan Menteri Israel Itamar Ben-Gvir terhadap peserta flotila yang ditahan Israel, dan disifatkan sebagai “mengerikan, menghina dan tidak boleh diterima”.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri-menteri itu berkata tindakan Ben-Gvir mengaibkan tahanan secara terbuka merupakan “serangan memalukan terhadap maruah manusia” dan “pelanggaran jelas” terhadap kewajipan Israel di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.

Mereka turut mengecam perbuatan hasutan dan keganasan yang disifatkan sebagai tidak sah oleh Ben-Gvir serta pegawai Israel lain terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki.

Menteri-menteri itu memberi amaran bahawa tindakan provokasi sedemikian “menyemarakkan kebencian dan ekstremisme” serta menjejaskan usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara.

Kenyataan itu menggesa pertanggungjawaban terhadap tindakan Ben-Gvir dan meminta langkah konkrit diambil bagi menamatkan provokasi serta pelanggaran berulang.

Kenyataan itu turut menekankan keperluan melindungi hak asasi manusia, memastikan maruah dan layanan berperikemanusiaan terhadap semua tahanan, serta menegakkan undang-undang antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.