SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai lapan individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi.
Polis Selangor memaklumkan, daripada jumlah itu, tujuh individu didapati positif ketum manakala seorang lagi positif ganja hasil 50 pemeriksaan saringan rambang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan bantuan JSPT Bukit Aman dan AADK.
Penutupan jalan dijalankan kira-kira jam 3 pagi selepas pemantauan dan risikan beberapa jam di lokasi operasi mengesan aktiviti samseng jalanan.
Difahamkan, lokasi itu menjadi ‘litar’ bagi menguji kelajuan motosikal yang telah diubah suai.
"Sepanjang operasi, sebanyak 103 kenderaan dan 120 individu berusia antara 14 hingga 32 tahun diperiksa.
"Sebanyak 200 saman atas pelbagai kesalahan trafik turut dikeluarkan, selain 41 motosikal disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, operasi berkenaan dijalankan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan selain memastikan keselamatan, ketenteraman dan pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap terbaik.









