SHAH ALAM, 25 MEI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menamatkan kontrak pembinaan tujuh syarikat sejak 2017 susulan kegagalan menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.
Pengarahnya, Ir Shukri Ishak berkata tindakan itu dibuat selepas semua syarikat terbabit gagal menunjukkan komitmen walaupun telah diberi peluang dan bantuan bagi memastikan projek kembali mengikut jadual asal.
"Sebenarnya projek yang kita tamatkan kontrak di JKR Selangor tidak menunjukkan jumlah kritikal. Saya boleh nyatakan ada tujuh projek bermula 2017...maknanya setahun lebih kurang satu projek ditamatkan.
"Sebenarnya JKR Selangor tidak mudah menamatkan kontraktor, selalunya kita akan 'assist' kontraktor, kita 'guide' supaya dapat kembali semula ke kontrak asal. Daripada 2017 hingga 2025, kita baru ada dalam tujuh syarikat yang kita tamatkan kontrak disebabkan projek sakit.
"Mereka telah diberikan peluang dan notis untuk melipatgandakan kerja tetapi masih gagal menyiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Projek ditamatkan antaranya klinik kesihatan, jalan raya, masjid. JKR telah berikan tempoh munasabah, peluang dan libat urus tetapi kontraktor tidak menunjukkkan komitmen, kita buat penamatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lima peratus projek dikategorikan sebagai sakit akibat gagal disiapkan dalam waktu ditetapkan.
Jelasnya, projek berkenaan adalah menaik taraf jalan simpang tiga Jenderam ke Sepang Lama, pembinaan kuarters pegawai Masjid Diraja Sultan Suleiman dan pembinaan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kapar.
"Projek sakit ini kita takrifkan apabila kontraktor tidak mencapai kemajuan ditetapkan. Kalau kurang daripada 20 peratus kita kategorikan lewat jadual jika lebih ia sakit.
"Jika dapati ia lewat capai lima peratus, kita menggerakkan mekanisme kawalan daripada segi intervensi, pergi ke tapak bina dan apa yang JKR boleh 'assist' untuk memastikan kontraktor dapat kembali semula ke trek asal.
"Apabila mereka layak diberikan lanjutan masa tetapi kontraktor masih lagi menjalankan kerja lewat, kita berikan amaran. Kita juga akan buat sesi khas bersama kontraktor dan jika masih gagal notis penamatan dikeluarkan," katanya.

Dalam pada itu, Shukri memaklumkan JKR Selangor menubuhkan pasukan khas bagi memastikan projek dapat dilaksana mengikut jadual.
"Pasukan ini akan membantu dan buat cross audit...contohnya projek jalan di Gombak, mungkin lihat ada projek lewat atau masuk kategori sakit mereka akan masuk untuk membantu supaya dapat memastikan kontraktor back to original track.
"Jurutera awam penguasa kanan mengetuai pasukan ini dan ia terdiri daripada latar belakang jurutera mekanikal, elektrik, ukur bahan. Pasukan ini akan pergi ke projek lewat atau sakit untuk lihat dan keluarkan laporan intervensi," katanya.










