Akta 588 memadai bendung kandungan sensitif, isu 3R di media sosial

24 Mei 2026, 9:53 AM
Akta 588 memadai bendung kandungan sensitif, isu 3R di media sosial

SHAH ALAM, 24 MEI: Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) diyakini masih memadai untuk membendung penyebaran kandungan berbahaya di media sosial termasuk melibatkan isu 3R berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.

Memetik laporan BH, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara cabaran terbesar yang dihadapi ketika ini ialah tindakan segelintir pihak mewujudkan akaun palsu bagi menyebarkan kandungan sensitif sebelum akaun tersebut dipadam atau ditutup.

“Kita nampak banyak akaun palsu dihasilkan, dicipta untuk terutamanya menghasilkan kandungan 3R. Setelah dihasilkan kandungan dan mereka sebarkan, akaun-akaun itu ditutup.

“Jadi ada elemen jenayah di situ, elemen yang baling batu sembunyi tangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihak berkuasa turut mengesan peningkatan akaun media sosial palsu yang menggunakan identiti serta imej Raja-raja Melayu dan kerabat diraja untuk tujuan penyamaran.

Katanya, situasi itu menunjukkan perlunya tindakan lebih tegas daripada syarikat pengendali platform media sosial dalam membendung penularan akaun palsu dan akaun penyamar.

“Kita lihat platform-platform juga perlu mainkan peranan untuk mengekang daripada akaun-akaun palsu seperti itu, impersonator accounts (akaun penyamar) daripada berleluasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan dua kod khusus berkaitan keselamatan kanak-kanak dalam talian telah diterbitkan pada 22 Mei lalu, termasuk beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi platform media sosial.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini turut menilai tahap kerjasama syarikat pengendali platform dalam menangani kandungan sensitif dan berunsur 3R.

“Ada yang telah dihantar ‘notice of demand’ daripada pihak SKMM seperti TikTok. Ada juga yang telah memberi kerjasama seperti Meta.

“Tapi kita lihat beberapa platform ini perlu menyatakan langkah yang akan mereka ambil untuk mengurangkan insiden yang bersifat 3R,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.