Misteri kematian lelaki di hotel mewah bongkar parti dadah

24 Mei 2026, 8:33 AM
Misteri kematian lelaki di hotel mewah bongkar parti dadah

SHAH ALAM, 24 MEI: Kematian seorang lelaki tempatan di sebuah hotel mewah di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur awal pagi tadi membawa kepada penemuan penganjuran ‘parti dadah’ membabitkan beberapa warga asing.

Dalam serbuan susulan dijalankan polis kira-kira jam 4 pagi, lapan individu pelbagai warganegara ditahan bersama sejumlah dadah disyaki ketamin dan pil ekstasi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3 pagi mengenai seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik hotel kira-kira jam 4 pagi.

Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu pelbagai warganegara terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kematian lelaki terbabit diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Mayat dihantar ke HKL. Bedah siasat dijalankan pada jam 9.30 pagi sebelum selesai kira-kira jam 12 tengah hari.

“Punca kematian setakat ini masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.