SHAH ALAM, 24 MEI: Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan Menara FINAS, Damansara Damai di sini semalam.
Mangsa berusia 11 tahun ditemukan kira-kira 1.9 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan lebih 18 jam oleh pasukan penyelamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Komander operasi menerima laporan awal daripada polis memaklumkan seorang budak lelaki berusia 11 tahun dipercayai lemas di sungai terbabit.
“Operasi pencarian segera dijalankan oleh anggota bomba menggunakan teknik di permukaan di sepanjang kawasan sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pencarian pada hari pertama dilakukan sejauh dua kilometer melalui kaedah pencarian permukaan dari darat namun mangsa gagal ditemukan.
Katanya, operasi ditangguhkan pada jam 9 malam selepas mengambil kira faktor keselamatan serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.
“Operasi kemudian disambung semula pada jam 7.30 pagi tadi dengan anggota melakukan pencarian menyusuri tebing sungai dari Jambatan Paya Jaras Hilir hingga Jambatan Merbau Sempak,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, pada jam 10 pagi pihaknya menerima maklumat terdapat mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di tepi sungai di Jalan Welfare Kampung Baru Sungai Buloh.
“Pasukan PPDA berjaya membawa naik mangsa pada jam 10.47 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada jam 11 pagi.
“Pengecaman mayat kemudian dibuat oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.






