Thailand tarik diri, Malaysia rangkul Piala Dunia Sepak Takraw 2026

24 Mei 2026, 12:23 AM
Thailand tarik diri, Malaysia rangkul Piala Dunia Sepak Takraw 2026
Thailand tarik diri, Malaysia rangkul Piala Dunia Sepak Takraw 2026
Thailand tarik diri, Malaysia rangkul Piala Dunia Sepak Takraw 2026
Thailand tarik diri, Malaysia rangkul Piala Dunia Sepak Takraw 2026

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Malaysia muncul juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas Thailand menarik diri ketika aksi final yang berlangsung penuh kontroversi di Stadium Titiwangsa, di sini malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan dominasi Thailand yang muncul juara dalam tiga edisi terdahulu kejohanan berprestij berkenaan.

Lebih 3,000 penyokong yang membanjiri Stadium Titiwangsa menjadi saksi semangat juang tinggi dipamerkan anak buah Ahmad Jais Baharun dalam usaha memburu kejuaraan bermakna di laman sendiri.

Pada aksi final tersebut, skuad negara mempertaruhkan regu pertama dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi bagi menghadapi cabaran sengit pasukan Thailand.

Regu pertama menyaksikan rejaman dan hadangan trio negara yang serba menjadi untuk mencatat kemenangan 15-9, 13-15, 15-11 kepada Malaysia.

Skuad regu sepak takraw negara muncul juara selepas Thailand menarik diri dalam acara akhir regu berpasukan pada Kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa pada 23 Mei 2026. Foto Facebook BERNAMA

Trio kedua negara yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bagaimanapun gagal menandingi kehebatan Thailand yang menurunkan Kritsanapong Nontakote, Tanapon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor apabila tewas 6-15, 10-15, sekali gus mengikat kedudukan keseluruhan 1-1.

Pada aksi penentuan, trio negara Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir memulakan langkah kanan apabila menewaskan regu Thailand 15-13 pada set pertama.

Set kedua berlangsung dramatik apabila Thailand berada di ambang kemenangan ketika mendahului 13-14, namun pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas semakan dibuat susulan dakwaan berlaku kesalahan pemain Thailand yang melepasi garisan gelanggang.

Keputusan itu menyebabkan kedudukan terikat 14-14 sebelum kem Thailand ‘mogok’ dengan meninggalkan gelanggang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Perlawanan kemudian terhenti kira-kira setengah jam sebelum barisan pengadil mengesahkan kemenangan berpihak kepada Malaysia susulan Thailand enggan meneruskan aksi, sekali gus keputusan 2-1 memihak kepada tuan rumah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.