Insentif haji muassasah Selangor naik RM1,500, bukti hasil negeri meningkat

23 Mei 2026, 1:26 PM
Insentif haji muassasah Selangor naik RM1,500, bukti hasil negeri meningkat

GOMBAK, 23 MEI: Penambahan insentif haji muassasah berjumlah RM1,500 bukti hasil Kerajaan Selangor terus meningkat, kata Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, dengan peningkatan hasil itu, para jemaah yang melaksanakan haji secara muassasah menerima RM1,500 berbanding sebelum ini RM500 ketika insentif itu diperkenalkan.

"Kerajaan Negeri mempunyai program khusus untuk mereka melaksana ibadah haji... sumbangan muassasah yang tahun ini kita pertingkatkan.

"Mula-mula diperkenal RM400 RM500 tetapi hari ini alhamdulillah apabila hasil kita dapat pertingkatkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terutamanya berjaya menjana pendapatan dengan hasil zakat wakalah dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahun ini, sumbangan muassasah ditingkatkan RM1,000 tahun lepas kepada RM1,500.

"Kita hampir dapat melaksanakan janji semasa pilihan raya lepas untuk meningkatkan kepada RM2,000 kepada pelaksana atau mereka yang dapat peluang untuk melaksanakan haji muassasah," ucapnya pada majlis serahan lembu dan kambing korban Parlimen Gombak hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah di negeri itu menerima insentif RM1,500 seorang menerusi pelaksanaan program Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi program berkenaan.

Sejak diperkenalkan pada 2022, insentif itu sudah memanfaatkan 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor termasuk 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 serta 6,000 jemaah masing-masing pada 2024 dan 2025.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri turut menaja rakyat Selangor yang kurang berkemampuan untuk menunaikan haji secara muassasah.

"Kita sediakan kuota lebih 70 rakyat Selangor untuk tunai haji secara muassasah dengan tajaan penuh.

"Kerajaan Negeri menumpukan individu yang kita rasakan mungkin memerlukan tempoh masa sangat panjang untuk kumpul dana dan kewangan untuk melaksana ibadah haji," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.