GOMBAK, 23 MEI: Beberapa pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumum April lalu akan mula dilaksanakan pada bulan hadapan, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membantu golongan terkesan akibat peningkatan kos sara hidup kesan krisis global.
"Pakej rangsangan yang diumum April lalu ada sebahagiannya akan bermula Jun dan Julai. Ia mampu menyerap dan memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan.
"Sekarang kita sedang bekerja keras menyiapkan pelan pelaksanaa dan rencananya supaya tidak ada yang tertinggal dan dilaksanakan dengan lancar serta berkesan," katanya pada majlis serahan lembu dan kambing korban Parlimen Gombak hari ini.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor sedang giat memperincikan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan kesan krisis bekalan global dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, jawatankuasa pasukan tindakan khas kini rancak bermesyuarat bagi mengumpul data serta meneliti pelbagai cadangan.
Pada April lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat serta industri negeri menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global susulan ketegangan di Asia Barat.
Inisiatif di bawah pakej berkenaan dijadual dilaksanakan mulai Jun sebagai langkah fasa pertama untuk memperkukuh bekalan makanan dan mengawal inflasi.
Minggu lalu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri telah memulakan sesi libat urus bersama pemain industri terjejas bagi merangka bentuk bantuan yang lebih bersasar.
Jelasnya, Invest Selangor turut mengadakan siri perbincangan bersama dewan perniagaan dan perdagangan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua sektor industri.








